UPSI, 18 Mac – Festival Rawa “Bototah Tang Kilen” mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat malah ada yang datang dari negeri lain seperti Pahang.
Program yang dirasmikan oleh Adun Slim River, Y.B Dato’ Mohd Khusairi Abdul Talib ini julung kali diadakan bersama oleh Muzium Pendidikan Nasional UPSI dan Majlis Daerah Tanjung Malim.
Festival Rawa Daerah Muallim telah dilaksanakan bermula pada tahun 2017 dan dijadikan sebagai acara tahunan di daerah Muallim serta mendapat sambutan yang menggalakkan dari setiap lapisan masyarakat.
Tanjong Malim amat terkenal dengan komuniti Rawa, iaitu sejarah pembukaan kota Tanjong Malim sendiri berkait rapat penghijrahan Dato’ Hj. Mustapha Raja Kamala yang merupakan seorang ketua kaum Rawa dari Gali, Raub ke Tanjong Malim sekitar tahun 1870-1871.
Justeru itu, festival ini diadakan bertujuan menyelusuri dan menerokai keunikan dan keistimewaan warisan melayu etnik Rawa dengan lebih mendalam disamping mempromosi pelancongan berasaskan sejarah dan warisan yang terdapat di Daerah Muallim khususnya Tanjong Malim.
Pelbagai acara menarik yang berlangsung ialah Pertandingan Futsal Kampung, Jualan Kraftangan, Basah dan Kering, Pertandingan Mewarna & Batu Seremban, Talkshow & Tazkiran oleh Ustaz Akhil Hayy, Pertandingan Sepak Raga Bulatan, Pertandingan Tarik Tali dan Pameran.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia#soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Education University