UPSI, 17 Julai – Bahan buangan yang tidak dapat dilupuskan boleh dikitar semula sebagai hiasan rumah atau halaman yang unik dan bermanfaat.
Justeru, Kolej Aminuddin Baki (KAB) menganjurkan Program Intervensi Alam Sekitar 6.0 dengan mengitar semula bahan terbuang untuk dijadikan hiasan di sekitar kolej.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, tanaman organik yang dihasilkan oleh pelajar-pelajar ini boleh dijadikan sebagai perniagaan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan konsisten.
“Melalui aktiviti tanaman organik yang menggunakan bahan terbuang dapat dijadikan sebagai salah satu nilai tambah kepada pelajar dalam melengkapkan segala ilmu dan kemahiran dalam melahirkan graduan yang serba mahir selepas keluar daripada alam universiti,”.
Pengetua KAB, Profesor Madya. Dr. Syed Sofian Syed Salim mengakui penganjuran program sedemikian juga dapat membantu dalam mengurangkan tekanan mahasiswa kerana mereka dapat keluar dari rumah dan menjalankan aktiviti yang cerdas serta menarik.
“Saya sentiasa memberi sokongan kepada mahasiswa melaksanakan aktiviti yang dapat mengurangkan tekanan dan memberi peluang kepada mereka berkreatif ,” katanya.
Sementara itu, Felo Penasihat Program, Datin Wan Nurul Hidayu Wan Abdul Razak menyatakan terdapat beberapa barangan yang boleh dikitar semula bagi membentuk produk baru yang berbeza dari segi rupa dan fungsinya termasuklah untuk tujuan tanaman dan hiasan laman.
“Situasi ini mencetuskan idea kepada Majlis Mahasiswa KAB untuk menghasilkan kebun tanaman organik daripada bahan terbuang,” katanya.
Tambah beliau, dalam membangunkan kebun tersebut, pihak kolej tidak memerlukan perbelanjaan yang besar sebaliknya kreativiti dari bahan terbuang dapat dijadikan sebagai bekas menanam sayur-sayuran.
Seramai 64 penghuni kolej dari pelbagai agama, bangsa dan etnik terlibat dalam program yang dianjurkan selama tiga hari dan ianya terbahagi kepada 3 fasa dimana setiap fasa dijalankan selepas satu bulan.
Pengarah Program, Harpreet Kaur Sidhu A/P Kertar Singh berkata, program tersebut merupakan salah satu program yang dijalankan secara bersemuka di mana pematuhan Standard Operasi Prosedur (SOP) diutamakan dengan membahagikan setiap ahli jawatan kuasa kepada kelompok yang kecil.
“Ada daripada kalangan mahasiswa memotong 40 tayar terpakai, mengecat tayar-tayar tersebut, mengukir botol-botol terpakai dan menanam benih sayur-sayuran seperti kubis, cili, kangkung dan lain-lain, “ katanya.