Seorang mahasiswa menggalas harapan tinggi ibu bapa, universiti, masyarakat dan negara. Mereka ini datang daripada pelbagai latar belakang keluarga dan kaum.
Ada yang berasal daripada keluarga senang atau selesa, tidak kurang juga latar belakang keluarganya miskin – hidup ibarat kais pagi, makan pagi, kais petang, makan petang.
Ada mahasiswa datang dari kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang sudah tentu kemudahan capaian internet tidak memuaskan. Namun, demi semangat mengubah masa depan keluarga, mereka tabah meneruskan pengajian.
Mahasiswa perlu tabah dan kuat menghadapi kemungkinan termasuk kelelahan menghadapi norma baharu pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian sejak awal tahun lalu. Di kampus, pelbagai kemudahan dapat dimanfaatkan demi meneruskan pengajian lebih selesa.
Dalam konteks perkembangan semasa, kerajaan bersilih ganti dan kini kepemimpinan negara dipertanggungjawabkan ke atas bahu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Beliau meletakkan harapan tinggi agar rakyat bersatu hati dan jiwa memberi fokus kepada aspek memerangi pandemik dan pemulihan ekonomi.
Selain sektor awam, pihak pembangkang diharap bersama-sama membantu kerajaan meskipun berbeza idedologi politik.
Bagi mahasiswa, sebagai insan yang mendominasi warga kampus tidak kurang pentingnya. Segala kemudahan prasarana pengajian disediakan kerajaan di semua universiti awam, sesungguhnya perlu disyukuri.
Seandainya tidak berlaku COVID-19, segala kemudahan dapat dimanfaatkan seoptimum mungkin. Namun, inilah cabaran menguji ketabahan mahasiswa yang membawa kepada satu tempoh masa panjang untuk belajar dalam suasana baharu yang tidak pernah diduga sebelum ini.
Sesuatu yang menggembirakan apabila baru-baru ini Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengumumkan bermula 15 Oktober depan, mahasiswa dibenarkan pulang ke kampus secara berperingkat dan bagi mereka yang berkeperluan diberikan keutamaan.
Semua universiti awam sedang membuat persiapan rapi sebelum mahasiswa kembali ke kampus. Hari pendaftaran yang sepatutnya menyaksikan ibu bapa membawa pelajar mendaftar dan menghantar anak sehingga ke bilik penginapan di kolej kediaman tidak dapat dizahirkan, lantaran kebimbangan terhadap COVID-19.
Itulah hakikat perlu diterima walaupun suasana mendaftar secara fizikal jauh lebih seronok dan mengujakan.
Mahasiswa Rakan Suai Kenal (RSK) semua universiti awam akan membantu seawal pagi bagi memastikan proses pendaftaran pelajar baharu di kampus berjalan lancar. Mahasiswa seperti anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) berkhidmat secara sukarela demi matlamat sama.
Peniaga dalam atau sekitar kampus yang kehilangan pendapatan akan menarik nafas lega. Perpustakaan universiti akan kembali berfungsi.
Mahasiswa dapat kembali bertemu rakan secara fizikal walaupun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Universiti tempat mereka memburu ilmu daripada pensyarah, selain ranah mereka dididik menjadi insan berhemah memanfaatkan ilmu ditimba.
Semoga universiti kembali bernafas dan ceria dengan kelibat mahasiswa, meskipun tidak seperti suasana sebelum COVID-19 melanda.
Tidak kurang pentingnya, bagi yang sudah tamat pengajian berharap majlis konvokesyen dapat dilangsungkan, sekali gus menyaksikan penantian saat bahagia itu menjadi kenyataan.
Dr Ghazali Din,
Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat,
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
- BH Online