oleh:
ERNI NORSYAHIRA BINTI ABU HANIPAH |
Tanjong Malim 15 Mei 2022 – Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) di bawah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah menganjurkan program Unleash Your Potential: Public Speaking Techniques di bawah anjuran Exco Akademik dan Pembangunan Mahasiswa. Program ini telah berlangsung pada hari Ahad bersamaan tarikh 15 Mei 2022 secara atas talian melalui platform Zoom dan siaran langsung di laman Facebook UKLK. Program ini cukup bermakna menerusi penampilan daripada dua penceramah daripada negara berbeza iaitu Malaysia dan Indonesia.
Encik Muhammad Asri Bin Ismail selaku panel jemputan daripada Malaysia merupakan Pengarah Program ASAS dari Kelab Pidato Perdana Antarabangsa (KEPENTAS). Bagi panel jemputan dari negara Indonesia pula merupakan Penolong Profesor dari Universitas Negeri Padang (UNP) iaitu Dr Nofrion, M. PD. Walaupun pengkhususan beliau dalam bidang Geografi, namun beliau cukup berpengalaman dalam pengucapan awam di mana beliau turut menyandang jawatan sebagai Pengetua Public Speaking dan Broadcasting Indonesia serta Public Speaking Institute.
Perasmi program iaitu Prof. Madya Dr Mazura @ Mastura binti Muhammad, Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UPSI, berkata penganjuran program sebegini dapat membina keyakinan diri mahasiswa untuk berani melontarkan idea dan pendapat masing-masing. “Penguasaan teknik-teknik pengucapan awam akan membantu dalam penyusunan teks ucapan secara rasional, tersusun dan menarik sekaligus dapat menyiapkan diri mahasiswa untuk lebih kritikal dalam menyuarakan pendapat” jelasnya semasa merasmikan program Unleash Your Potential: Public Speaking Techniques.
Barisan tetamu kehormat iaitu Prof. Madya. Ts. Dr. Che Ghani Bin Che Kob, Pengetua UKLK UPSI dan En Mohammad Syafiq bin Mohamad Rasidi selaku Penasihat Exco Akademik dan Pembangunan Mahasiswa Unit Kediaman Luar Kampus turut hadir bagi memeriahkan program.
Program Unleash Your Potential: Public Speaking Techniques initerbuka kepada mahasiswa di semua IPTA di seluruh Malaysia serta mahasiswa dari Universitas Negeri Padang (UNP) dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari semua pihak. Program yang berlangsung selama 3 jam 45 minit ini terbahagi kepada 2 slot. Penglibatan peserta di dalam platform Zoomdan laman Facebook UKLKtelah mencapai sehingga 393 pelajar. Sepanjang program ini berlangsung, peserta didedahkan dengan maklumat berkenaan pengucapan awam dari aspek tips mahupun teknik-teknik yang berkesan.
Di Slot 1, Dr Nofrion atau lebih selesa disapa sebagai Pak Rion mengulas berkenaan tujuan sebenar pengucapan awam tersebut dilakukan supaya ianya lebih bermakna. Hal ini turut diikuti dengan teknik pembukaan di mana ianya meliputi aspek salam, sapa, periksa, doa, rupa, suara, kata dan rasa. “Orang lain boleh dipengaruhi menerusi kata (7%), intonasi (38%) dan gerak isyarat (57%)”, tambahnya. Oleh itu, setiap aspek perlu dititikberatkan supaya pengucapan awam tersebut diingati.
Seterusnya, Slot 2 dikendalikan oleh Encik Muhammad Asri Bin Ismail dimana beliau berkongsi maklumat berkaitan kawalan diri apabila gemuruh terutamanya ketika membuat pengucapan awam di khalayak ramai. Penerangan yang santai dan menarik dari kedua-dua panel telah mendapat maklum balas yang positif dari para peserta baik dari Malaysia mahupun Indonesia.
Saudari Noor Aniza binti Sidek selaku pengarah program menyatakan harapan beliau agar program ini mampu melahirkan lebih ramai mahasiswa yang menguasai kemahiran komunikasi dengan baik. “Program ini dijangka memberi kesan positif terhadap insaniah mahasiswa berikutan pendedahan berkenaan kemahiran, teknik dan seni pengucapan awam yang dapat memukau dan meyakinkan pendengar”, jelasnya lagi.
Ringkasan daripada yang telah dinyatakan, program Unleash Your Potential: Public Speaking Techniques ini sememangnya merupakan inisiatif yang bagus untuk mengasah kemahiran berkomunikasi mahasiswa ke peringkat yang lebih tinggi. Hasil perkongsian teknik serta tips daripada penceramah yang cukup berpengalaman tersebut sedikit sebanyak dapat memberi idea kepada mahasiswa untuk menghasilkan pengucapan awam yang lebih bermakna dan berkualiti.