Md Amin (tiga dari kiri) bersama editor selepas melancarkan antologi

Shah Alam, 30 Mei 2022

Majlis Reunion Perdana II anjuran Alumni Anak Kandung Suluh Budiman Negeri Selangor menyaksikan pelancaran sebuah antologi puisi dan anekdot sempena 100 sambutan 100 tahun Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula era Sultan Idris Training College (SITC).

Majlis yang diadakan di Concorde Hotel, Shah Alam itu dihadiri lebih 100 alumni yang melibatkan era SITC, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) sehingga zaman UPSI.

Alumni Anak Kandung Suluh Budiman bergambar kenangan di hadapan Bangunan Suluh Budiman yang dibina pada 1922.

Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff merasmikan majlis dan menyempurnakan pelancaran buku berjudul Memorabilia Anak Desa Ke Persada Muallim.Md Amin dalam ucapannya melahirkan kesyukuran kerana majlis itu mempertemukan semula alumni Anak Kandung Suluh Budiman melepaskan kerinduan dan mengimbau kembali zaman belajar mereka dahulu.

Selain berucap, Md Amin membacakan sebuah puisi yang diciptakannya berjudul “Kekanda” sebagai apresiasi beliau terhadap semua alumni yang hadir pada malam itu.

“Sempena konvokesyen UPSI yang bakal berlangsung pada 18 jun nanti, kita akan menjemput alumni era SITC untuk bersama-sama merasai perubahan dan kemajuan UPSI,” katanya.

Pengarah dan penggerak program, Md Arrif Hairoman terharu dengan kehadiran alumni empat era itu memperlihatkan keinginan mereka untuk saling bertemu dan merapatkan hubungan kembali. Hadir sama Ahli Lembaga Pengarah (Alumni) UPSI, Datuk Seri Ahmad Burak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin.

Pengarah Pusat Alumni, Dr Siti Hartini Azmi.

Pengarah Pusat Alumni UPSI merangkap Ketua Editor, Dr. Siti Hartini Azmi berkata majlis sangat bermakna kerana bukan sahaja memberi peluang alumni bertemu rakan-rakan seperjuangan, malahan diusahakan penerbitan buku yang menghimpunkan 100 karya berbentuk puisi dan anekdot yang ditulis oleh alumni serta penulis-penulis terkenal tanah air.


Selain beliau editor buku yang menggerakkan antologi dalam masa lebih tiga bulan lalu ialah Prof. Madya Dr. Ghazali Din, Dr. Mashudi Bahari, Rasyidi Johan, Anizan Md Noor, Ramli Mosmin, Md Ariff Hairoman dan Kaharuddin Mohd Yusof.


Selain pejuang dan tokoh bahasa tanah air, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan yang menyumbang puisi berjudul “Jejak-jejakPendeta Za’ba di Bumi Ibu Kandung”, penyair terkenal yang juga alumni era MPSI, Rahman Shaari menampilkan dua puisi “Bukan Lalang di Ibu Kandung” dan “Dusun Ilmu”.
Keesokan hari, semua alumni mengikuti program Ziarah Kasih di kampus yang bersejarah, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah dan diraikan di Dewan SITC.

Sebelum itu, mereka berarak diiringi paluan kompang dari Rumah Persatuan Anak Kandung Suluh Budiman (PASB) yang terletak berhampiran Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK). Alumni kemudiannya bergambar berlatar belakangkan Bangunan Suluh Budiman (BSB) , sebuah bangunan warisan yang dibina pada tahun 1922 era SITC. Bangunan itu dijadikan Muzium Pendidikan Nasional (MPN) di bawah pengurusan Institut Peradaban Melayu (IPM).

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)