Oleh : Prof. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali

Mac 18, 2023

Kuala Kangsar: Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Perak telah menganjurkan Program Penghijauan Malaysia Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim.

Baginda yang turut diiringi Kebawah Duli Yang Amat Mulia Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Al Marhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah serta 370 ahli Pandu Puteri Perak termasuk Persatuan Pandu Puteri Klover UPSI yang akan ditubuhkan.

Program yang dianjurkan sempena Sambutan 101 Tahun PPPM Perak diketuai Profesor. Madya Dr. Siti Rahaimah Ali serta dilaksanakan dengan jayanya oleh pasukan dikelola Pengarah Program, Nur Ain Fatihah Mohd Roziman.

Antara tujuan utama program ini diadakan ialah untuk mengeratkan hubungan guru dan pelajar dalam program komuniti sekaligus mewujudkan perhubungan yang akrab dalam menjalankan aktiviti unit beruniform di peringkat sekolah mahupun di luar bilik darjah.

Menerusi titah Tuanku Zara Salim, baginda menyatakan program-program seperti ini wajar diadakan untuk menekankan penglibatan guru dalam unit beruniform di sekolah dan di luar sekolah.

Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang guru perlu menitikberatkan penglibatan mereka dalam aktiviti-aktiviti seperti ini untuk diterapkan dalam proses pengajaran di sekolah.

Sementara itu menurut Naib Canselor UPSI, Profesor. Datuk Dr Md Amin Md Taff, untuk menghasilkan pelajar yang holistik, UPSI telah mengambil inisiatif untuk menerapkan konsep 3A iaitu akademik, akhlak dan adab, resiliensi, membina karakter pelajar, meraikan kegagalan dan kejayaan serta amanah dalam diri setiap bakal guru.

“Peranan guru hari ini sangat penting kerana jika gagalnya guru membentuk seorang pelajar, maka musnahnya generasi seterusnya terutamanya dalam penglibatan badan unit beruniform.”

Menurut Md Amin lagi, untuk melahirkan murid yang cemerlang, bakal-bakal guru ini perlulah memupuk minat dalam penglibatan unit beruniform agar guru yang proaktif dapat dilahirkan sekaligus menyemarakkan semangat yang kian luntur dalam diri guru.

“Kerjaya guru pada hari ini bukan semata-mata sebuah kerjaya yang terjamin, sebaliknya sebuah amanah yang memerlukan komitmen tinggi kepada masyarakat bagi pemupukan sahsiah untuk pendidikan masa hadapan,” jelasnya lanjut. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)