Oleh: Kamalia Izzati Ahmad Rahimi (Exco Media PTQ) & Prof. Madya Dr. Husna Husain (FSK)

Tanjung Malim- Saban tahun, tarikh 12 Rabiulawal adalah hari yang dinantikan oleh umat Islam di dunia, khususnya di Malaysia. Pelbagai majlis diadakan sama ada di bandar, desa, mahupun di peringkat negeri dan negara. Ini termasuklah aktiviti yang paling ditunggu-tunggu iaitu perarakan di pelbagai peringkat dengan melibatkan sekolah-sekolah, jabatan-jabatan kerajaan mahupun jabatan bukan kerajaan yang sama-sama meraikan hari kebesaran ini, termasuklah perarakan yang dilaksanakan di UPSI sendiri.

Semua ini tidak lain tidak bukan adalah untuk menterjemahkan rasa kasih dan rindu umat kepada seorang insan mulia, Rasulullah SAW. Siapakah Baginda SAW yang hari kelahirannya disambut sebegitu meriah? Tarikh keramat ini menjadi begitu bermakna apabila seorang wanita bernama Saidatina Aminah  telah dimuliakan oleh Allah SWT untuk melahirkan seorang bayi lelaki yang diberi nama Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib. Baginda ialah Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW iaitu penghulu segala Nabi dan Rasul serta merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah SWT di muka bumi bagi tujuan menyebarkan risalah Islam kepada umat manusia agar kehidupan mereka terpimpin ke jalan yang diredhaiNya. Ini jelas dinyatakan melalui firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya’ ayat 107, “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.

Antara tugas Rasul adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan suku agar semuanya kembali meletakkan perhambaan yang sebenar kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah. Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dapat membina perpaduan yang mapan. Natijahnya, umat Islam yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan ini, menjadi umat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia. Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiarnya dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan Islam di Madinah dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah. Justeru, kami menyeru kepada warga UPSI dan seluruh rakyat Malaysia agar kita bina perpaduan dan terus berusaha mengukuhkannya sehingga perasaan kasih sayang terbina atas dasar Aqidah Islamiyyah yang sahih. Akhir kalam, marilah sama-sama kita menyahut hasrat dan tema Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1445H yang bertemakan Perpaduan Teras Malaysia Madani.