Oleh : Nursyazwani Ismail (NCDRC)

Tanjong Malim: Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) telah menganjurkan Hari Sukan Tahunan Taska Tadika NCDRC yang berlangsung pada 04 Oktober lepas di perkarangan Arena dan Stadium UPSI.

Program yang berlangsung selama satu hari tersebut melibatkan seramai 400 orang terdiri dari kanak-kanak Taska Tadika, ibu bapa, kakitangan dan komuniti setempat. Banyak aktiviti yang dipertandingkan dan kesemuanya disusun mengikut tahap umur kanak-kanak.

Cuaca yang cerah diikuti dengan suasana yang ceria menambahkan lagi semangat kanak-kanak Taska Tadika untuk bersukan dan menjalani pertandingan dengan baik. Program ini juga bertujuan bagi mengeratkan lagi hubungan baik di antara pendidik dan ibu bapa agar sentiasa bersatu memastikan setiap perkembangan kanak-kanak berjalan dengan sempurna dan saling membantu antara satu sama lain.

Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa menyatakan program hari sukan seperti ini menjadi ruang pembelajaran secara tidak langsung bagi kanak-kanak kerana di dalam sukan terkandung banyak elemen perkembangan yang merangkumi kemahiran kognitif, psikomotor, sosial dan sebagainya.

“Terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa menyokong setiap usaha para pendidik untuk membuat program yang melibatkan kanak-kanak. Itu jelas menunjukkan bahawa kita bersama bersatu demi mewujudkan suasana pembelajaran yang aktif bagi meningkatkan tahap kemampuan, kebolehan dan kemahiran yang perlu dicungkil dari dalam diri kanak-kanak,” katanya.

Program dimulakan dengan aktiviti senamrobik seawal jam 7.30 pagi di bawah kelolaan guru-guru pelatih yang merupakan mahasiswa daripada bidang Pendidikan Awal Kanak-kanak, Fakulti Pembangunan Manusia, UPSI.

Setelah itu, perbarisan dari tiga rumah sukan yang menampilkan tema kartun yang menjadi pilihan dan kesukaan kanak-kanak dengan susunan pakaian dan kostum kreatif yang dikenakan.

Kemeriahan diteruskan dengan acara pertandingan kanak-kanak yang melibatkan semua tahap umur. Pendidik menyusun setiap keperluan permainan dan memastikan perjalanan pertandingan berjalan dengan lancar seiring dengan elemen perkembangan yang perlu diterapkan bersama.

Pengarah Hari Sukan Tahunan Taska Tadika NCDRC, Cikgu Nor Azura Yusofe menjelaskan bahawa pertandingan yang dijalankan adalah untuk kanak-kanak. Selain keselamatan, kesemua perincian permainan perlu dinilai dan diperhatikan dengan terperinci agar pertandingan yang dijalankan mempunyai impak yang besar dalam perkembangan kanak-kanak.

“Saya sentiasa berpesan kepada pendidik bahawa perlu menilai setiap halangan itu secara terperinci agar permainan yang dimainkan tidak hanya seronok, malahan juga perlu menyokong peningkatan kebolehan dan berimpak besar dalam perkembangan mereka. Boleh jadi itu dalam bentuk perkembangan psikomotor, kognitif bahkan sosial mereka,” katanya.

Acara Sukan Kelas Bayi, Go Baby 123!
Acara Sukan Kanak-kanak 1 & 2 tahun
Kanak-kanak 5 tahun bersedia untuk acara Larian 100 meter
Acara larian baton kanak-kanak 5 tahun
Acara tarik tali kanak-kanak 6 tahun

Sukan dan kanak-kanak sememangnya tidak boleh dipisahkan. Dampak positif aktiviti fizikal dalam Pengajaran dan Pembelajaran tidak hanya cenderung kepada tahap kekuatan fizikal sahaja tetapi semua perkembangan dapat diraih oleh kanak-kanak. Pendidik perlu kreatif menggunakan segala aspek sokongan belajar dalam pendidikan awal kanak-kanak demi kemenjadian dan peningkatan kanak-kanak secara menyeluruh dan bersepadu.

Pertandingan dalam Hari Sukan ini tidak hanya melibatkan kanak-kanak sahaja malahan ibu bapa juga diberikan peluang untuk menyertai pertandingan yang telah disusun. Bagi kategori bapa, pertandingan yang dipertandingkan adalah Reverse Run manakala kategori ibu adalah petandingan Batik Run.

Hari Sukan Tahunan Taska Tadika mendapat reaksi yang positif daripada ibu bapa kerana aktiviti sukan atau riadah adalah salah satu perkara yang sangat baik. Kita mesti bermula dari asas bahawa yang terbaik untuk kanak-kanak pada amnya adalah bermain kerana mereka sempurna untuk meningkatkan daya tahan serta meningkatkan kekuatan otot. Bermain sukan adalah sesuatu yang mustahak dan asas dalam kehidupan setiap orang. Bagi kanak-kanak, adalah penting untuk menanamkan kecintaan kepada sukan ini sejak mereka kecil kerana banyak faedah yang akan membawa mereka dari sudut fizikal dan psikologi. Sukan bagi kanak-kanak membantu meningkatkan rasa persahabatan dan perpaduan, sesuatu yang mustahak pada tahun- tahun pertama kehidupan kanak-kanak.

Selain itu, latihan fizikal juga mempromosikan rangkaian nilai penting lain seperti disiplin diri, menghormati orang lain atau kemahiran kepimpinan. Keupayaan untuk bekerja sebagai satu pasukan adalah aspek terpenting yang dibawa oleh sukan kepada anak-anak. Dalam Islam juga menganjurkan umatnya supaya menjaga kesihatan dan kecergasan badan, agar kita dapat untuk beribadah dan bekerja. Secara keseluruhannya, penganjuran Hari Sukan Tahunan seperti ini sangat memberi impak yang positif dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak sendiri secara amnya dan berharap semoga program seperti ini akan sentiasa berjalan setiap tahun dengan pelbagai acara sukan yang sesuai dengan kanak-kanak, ibu bapa dan komuniti setempat.