Oleh: Firlonyesia Firky & Dr. Nurulasyikin Hassan

Tanjong Malim- Jabatan Sejarah di bawah Fakulti Sains Kemanusiaan telah menganjurkan sebuah persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Kebangsaan Sejarah dan Budaya Masyarakat Madani bertujuan untuk menggalakkan budaya kearah masyarakat bertamadun serta pembentukan sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat. Konsep ini berlandaskan kepada enam perkara utama yang melatari Malaysia Madani iaitu Ke(M)ampanan; Kesej(A)hteraan; (D)aya cipta; Horm(A)t; Keyaki(N)an; dan (I)hsan.

Persidangan ini telah berlangsung pada 9 hingga 10 November 2023 bertempat di beberapa lokasi antaranya Auditorium, Perpustakaan Tuanku Bainun, Makmal Lisan Sejarah, Bilik Interaksi FSK, Bilik Mesyuarat Ibnu Khaldun FSK, Bilik Sejarah 1 dan 2 Bangunan IPS.

Isu yang timbul dalam kehidupan sesebuah masyarakat itu menjadikannya semakin matang dalam pemerkasaan budaya dan pengukuhan perpaduan masyarakat. Penganjuran persidangan ini bakal menjadi medan kepada para intelektual untuk membahas dan merumuskan konsep masyarakat madani bagi membolehkan hala tuju Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang maju dan sejahtera dapat dicapai.

Seminar ini turut disertai oleh beberapa buah badan kerajaan, universiti dan sekolah seperti KPM, Arkib Negara, UKM, UUM, UPSI, UMS dan Sekolah Sukan, UBD, IPG, UM, Unisza, USM, UPM, Persatuan Sejarah Malaysia SMK Guntong, SMK Sungai Tong, Terengganu dan Persatuan Sejarah Brunei.

Penganjuran Persidangan Sejarah dan Budaya dalam Pengukuhan Perpaduan Masyarakat Madani ini menggalakkan pertukaran idea dan hasil penyelidikan tentang perubahan dan kesinambungan budaya ke arah masyarakat yang bertamadun sekaligus Sebagai landasan kepada para pembentang dan peserta dalam menyuarakan pandangan tentang perkembangan pendidikan sejarah agar ia terus relevan dari aspek falsafah dan pelaksanaannnya sebagai pemandu kepada pemupukan masyarakat yang selari dengan matlamat wadah negara.

Persidangan ini juga bertujuan untuk menjadi ruang pertukaran idea kepada para akademia tentang konsep Malaysia madani dari aspek konsep, perlaksanaan dan hala tuju perlaksanaan gagasan tersebut. Selain menjadi landasan kepada para pembentang untuk membahaskan perkembangan, perubahan dan kesinambungan dasar negara yang perlu diambil kira dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang selari dengan hasrat gagasan tersebut, ia juga memberi peluang kepada para peserta dan pembentang untuk melontarkan idea baharu dalam memantapkan perkembangan negara khususnya dari aspek sosio-ekonomi dan politik.

Dalam ucapan YB Senator Datuk Wira, beliau menyatakan “gagasan Malaysia MADANI yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri merupakan sebuah kerangka visi baru buat negara, suatu ikhtiar nirmala yang bersepadu dan holistik, bertunjangkan dasar-dasar yang berorientasikan masa depan untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang madani, maju, terampil dan terangkum. Malaysia Madani mengandungi enam teras iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, nilai hormat, keyakinan dan ihsan, perlu diterima dan direalisasikan oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini bagi memastikan hasratnya untuk membina negara bangsa Malaysia yang lebih berdaya saing dapat dicapai dengan jayanya dalam jangka masa yang singkat”, katanya.

YB Senator Datuk Wira juga turut mengatakan bahawa, teras kecemerlangan sesebuah negara itu tidak hanya diukur berdasarkan tahap kecemerlangan sains dan teknologi, tetapi perlu disebatikan dengan budaya yang menjadi teras kepada pembentukan sebuah masyarakat yang bertamadun. Masyarakat yang cemerlang itu mestilah mempunyai keutuhan jiwa dengan berteraskan kepada falsafah yang jitu, lazimnya berteraskan kepada falsafah keagamaan.

Beliau berhasrat agar seminar kali ini mampu menjadi pentas pertemuan para intelektual tempatan untuk membahaskan hasil penyelidikan yang dibentangkan. Harapan saya agar satu resolusi yang matang dan berketerampilan dapat dihasilkan selepas tamatnya persidangan yang amat bermakna ini dan beliau yakin dengan penganjuran persidangan seperti ini, para sarjana dari pelbagai bidang dan institusi dapat menyemarakkan semangat para penyelidik serta mampu membuka ruang kepada penerokaan yang lebih luas dalam bidang penulisan dan penerbitan.

Profesor Dato’ Mohamad Abu Bakar, Penyandang Kursi Tun Abdul Razak ke-12, Universiti Ohio, AS menyatakan dalam ucaptamanya, ”Segala usaha menjadi ibadat sekiranya ia didasari oleh niat yang betul dan diurus pula dengan betul mengikut kacamata keagamaan. Ini adalah ‘baseline’ dalam falsafah Islam, dan ia juga adalah asas dalam amalan sosial. Kerja-kerja amal hanya menjadi bermakna apabila ia disemangati dan disusuli oleh pertimbagaan keagamaan. Bukan nama perancangan atau projek yang menentukan keislaman, tetapi niat yang membelakanginya. Oleh itu penjenamaan seperti “Kampung Islam’ atau “Bandar Islam” tidak sepenting mana berbanding dengan kandungan atau isi kampung atau bandar tersebut”.

Antara aktiviti yang dijalankan selain daripada persidangan pembentangan kertas kerja/poster, terdapat juga pameran buku, bahan artifak dan pameran dari Muzium Zoologi Fakulti Sains dan Matematik. Penutup seminar telah diserikan dengan ucapan penutupan daripada Prof. Madya Ts. Dr. Nor Kalsum Mohd Isa, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)