Oleh: Meor Mohamad Fathullah & Nur Muhammad Syafid
Tanjong Malim: Al-Mursyidin Kitchen merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Pusat Islam bersama dengan Al-Mursyidin Club (AMC) bagi meraikan mahasiswa UPSI dengan memberikan makanan secara percuma berkonsepkan sedekah.
Lebih menarik lagi bahawa cara penyediaan makanan dalam program ini menggunakan kaedah merewang yang memerlukan tenaga kerja yang ramai. Semua yang terlibat menunjukkan kebersamaan dalam membanting tulang persis peribahasa “serumpun bak serai, sesusun bak sireh” bagi mempersiapkan juadah tengah hari kepada mahasiswa.
Seusai itu, program yang diadakan pada 6 Disember ini turut menggalakkan mahasiswa untuk makan secara berjemaah di dalam talam. Alternatif yang digunakan ini sekaligus dapat memartabatkan sunnah baginda Nabi SAW agar dapat diamalkan dalam kalangan mahasiswa.
Tambahan pula, program sebegini dapat memberikan pengalaman baharu khususnya kepada mahasiswa yang terlibat selain daripada mengeratkan ukhwah di antara staf dengan mahasiswa di UPSI.