Oleh: Nur Atifah Abdul Kaeyum – Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan (Kejurulatihan Sukan)

Solo, Indonesia: Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (UPSI) melalui Program Sains Sukan Kejurulatihan telah menghantar lima orang pelajar bersama dua orang pensyarah pengiring iaitu Dr. Nor Fadila Kasim dan Dr. Fairus Fariza Zainudin untuk program pertukaran pelajar inbound di Fakultas Keolahragaan (UNS), Kem Universiti Sebelas Maret Manahan Indonesia bermula pada 19 November sehingga 25 November. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar berkaitan kejurulatihan paralimpik bersama atlet dan jurulatih skuad Indonesia dalam sukan Boccia.

Delegasi UPSI sangat bertuah kerana diberi kesempatan untuk mempelajari konsep kejurulatihan paralimpik khususnya sukan Boccia bersama pengurus pasukan Boccia Indonesia iaitu Dr. Islahuzzaman Nuryadin, yang juga merupakan Timbalan Dekan, Fakultas Keolahragaan, Universitas Sebelas Maret Indonesia (UNS). Sesi ini juga turut disertai oleh atlet paramilpik Indonesia yang sedang mengikuti latihan untuk Kejohanan Paralimpik Paris 2024 seperti Felix Ardi Yudha, Muhammad Afrizal Syafa, dan Gischa Zayana.

Menurut jurulatih Pasukan Boccia Indonesia iaitu Argya, buat masa ini, atlet sedang menjalani latihan untuk kejohanan dan pasukan Indnesia akan menghantar wakil dalam kategori Atlet BC1 hingga BC4. Menurut beliau lagi, latihan yang diterapkan pada atlet merangkumi teknik balingan untuk permulaan latihan untuk mengetahui tahap keupayaan momentum dan daya untuk digunakan dalam jarak yang berbeza. Dalam masa yang sama jurulatih Argya juga merangka program latihan yang sesuai bagi atlet paramilpik di gimnasium bagi mempertingkatkan kekuatan otot walaupun mengalami masalah pergerakan.

Semasa sesi ini berlangsung, para pelajar juga didedahkan dengan kaedah untuk mengawal tahap emosi atlet para semasa pengendalikan latihan dan sewaktu perlawanan. Sebagai contoh, di dalam kategori BC3 dan BC4, atlet dibenarkan untuk menggunakan tanjakan untuk menolak dengan bantuan pembantu sukan. Ini menjadi faktor cenderungnya gangguan emosi apabila salah membuat percaturan strategi ataupun kekalahan sewaktu latihan mahupun perlawanan.

Dalam masa yang sama, para pelajar juga diberi tunjuk ajar berkaitan kaedah dan tatacara pengelola dan pengadilan pertandingan boccia pada sebelum, semasa dan selepas perlawanan. Ini juga merangkumi kaedah pengiraan mata perlawanan dan undang-undang pertandingan yang terkini.  

Menurut salah seorang atlet Indonesia iaitu Felix Ardi Yudha, yang merupakan pemenang pingat emas kelas BC2 putra dalam Asian Para Games 2022 di Hangzhou berkata ‘’antara element penting yang perlu diterapkan dalam diri atlet ialah untuk terus fokus di dalam latihan yang diberi oleh jurulatih. Teknik balingan yang tepat dan latihan bagi menguatkan otot adalah penting bagi memastikan peningkatan pada prestasi balingan.”

Dengan adanya program seperti ini, pelajar UPSI dapat merasai sendiri pengalaman mengendalikan atlet paralimpik dan teknik latihan yang sesuai untuk mereka.

Secara keseluruhannya, program inbound yang diatur ini adalah bukti komitmen UPSI dan UNS khususnya untuk menambahkan pengalaman dan pengetahuan di dalam bidang sukan ini. Ia juga diharapkan dapat membentuk mereka menjadi pelajar yang berpengathuan dan boleh mengadaptasi ilmu yang diperolehi demi meningkatkan mutu sukan di UPSI dan Malaysia khususnya.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)