Oleh: Muhammad Nur Afif Hakim dan Najwa Nadri
Tanjong Malim, 28 JANUARI 2024: Pertandingan Seni Potret Awang Had Salleh telah berlangsung dengan jayanya melibatkan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertempat di Pusat Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI.
Pertandingan yang dianjurkan oleh Exco Keseniaan dan Kebudayaan, Majlis Mahasiswa Kolej Awang Had Salleh (KAHS) ini adalah pertandingan melukis Potret Tokoh Terkemuka iaitu Allahyarham Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Awang Had Salleh yang merupakan seorang ahli akademik dan sasterawan Malaysia. Antara sumbangan beliau selain aktif dalam bidang akademik adalah penghasilan karya kreatif termasuk buku, risalah dan kertas kerja mengenai bidang pendidikan, bahasa, dan budaya.
Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta yang terlibat untuk mengenali tokoh sasterawan Malaysia sekaligus mengasah dan melahirkan bakat baharu dalam bidang seni lukisan potret di kalangan pelajar UPSI. Berdasarkan kepada data kehadiran pelajar mendapati kebanyakan pelajar yang menyertai pertandingan ini adalah pelajar dari aliran bahasa dan sains, bukan dari bidang seni kreatif.
Hasil lukisan potret bagi setiap peserta dinilai oleh juri berpengalaman iaitu Zolkipli Abdullah, pensyarah Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) serta Dr. Fareez Vincent Amos@Mohd Fadly, pensyarah Fakulti Seni, Kelestarian & Industri Kreatif (FSKIK) merangkap Timbalan Pengarah, Institut Peradaban Melayu (IPM). Setiap hasil lukisan peserta akan dipamerkan di Galeri Seni di bawah pengendalian IPM menerusi Program Webinar Inspirasi Sastera Awang Had Salleh yang bakal diadakan pada 01 Julai ini.
Diharapkan melalui pertandingan ini dapat memupuk cinta terhadap seni lukisan potret. Pihak KAHS mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada semua peserta yang terlibat dalam pertandingan lukisan potret ini.