Oleh: Fajrul Solehien
20 Mei 2024
Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Exco Akademik dan Kerjaya Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI sidang 23/24 dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International) telah berjaya menganjurkan Bengkel Terapi Seni siri ke-2 bertempat di Bilik Mikroteaching 2, Aras 3, Blok 9, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), UPSI.
Bengkel bertajuk “Art Therapy 2.0: Asas Terapi Lukisan untuk Proses Menolong di Sekolah” ini diadakan dengan tujuan untuk memberi pendedahan kepada bakal kaunselor tentang aplikasi terapi seni dalam memastikan pengurusan emosi para pelajar di sekolah sentiasa terjaga.
Melalui bengkel ini, para peserta bukan sahaja dapat menyatakan refleksi pengalaman dan pengajaran yang dilalui tetapi juga menekankan kesan positif aplikasi terapi seni dalam konteks kesejahteraan psikologi.
Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan dalam ucapannya menjelaskan, “Art Therapy adalah salah satu pendekatan dalam rawatan yang menggabungkan teknik psikoterapeutik dengan proses kreatif bagi mengekalkan kesejahteraan mental dan emosi.
Bakal-bakal kaunselor kita perlu diberi pendedahan dengan teknik dan terapi yang pelbagai serta meluas agar mereka dapat menjalankan sesi kaunseling dengan lebih berkesan dalam proses membantu klien.”
Beliau juga menekankan harapannya agar semua peserta dapat mengaplikasikan ilmu yang diperoleh dari bengkel ini dalam kehidupan seharian serta dalam bidang profesion pada masa akan datang.
“Saya berharap, Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) UPSI dapat mengadakan program-program yang memberi impak dan meningkatkan nilai tambah dalam diri mahasiswa pada masa akan datang seperti Program Art Therapy ini,” tambahnya lagi.
Kaunselor Berdaftar dan Timbalan Pengurus Seksyen Pengurusan Psikologi dan Kaunseling KWSP, Puan Jamaida Jamaludin, dalam slot ceramahnya menyatakan, “Kehebatan Art Therapy adalah terapi ini memaksa klien kita untuk celik akal dengan lebih cepat. Sebagai guru bimbingan dan kaunseling, kita mahu membantu klien terutama apabila klien keluar dari bilik kita, dia akan rasa tenangdan tidak akan membuat sesuatu yang negatif.
Tidak semua masalah tidak akan selesai dengan segera, perkara paling penting adalah kita perlu menguruskan emosi klien terlebih dahulu dan lukisan ini adalah manifestasi minda bawah sedar.” katanya.
Para peserta diberi pendedahan tentang apa itu Terapi Seni dan bagaimana terapi ini digunakan di dalam sesi bagi membantu pelajar sekolah, manakala aplikasi terapi seni yang ditunjukkan semasa bengkel ini menekankan proses meneroka, merawat dan memulih.
Peserta juga didedahkan dengan dua pendekatan iaitu pendekatan kaunseling seperti directive dan non-directive dan teknik dalam lukisan seperti teknik collage sebagai pengisian tambahan.
Mereka juga didedahkan bagaimana proses penerokaan dalam terapi seni ini boleh dilaksanakan, antaranya ialah memberi penekanan kepada warna, corak, imej atau simbol, garisan dan local point.
Terapi Seni boleh digunakan sebagai alat dalam sesi bagi memberi ruang yang terapeutik kepada klien. Antara lukisan yang diaplikasikan semasa bengkel ini ialah lukisan penyelesaian masalah, lukisan emosi, lukisan mandala dan lukisan refleksi iaitu pelangi.
Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FPM (TDHEPA), Profesor Madya Dr. Abdul Halim bin Masnan, wakil Penasihat Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH), Encik Taquddin bin Abd. Mukti, serta Timbalan Pengurus Psikologi dan Kaunseling KWSP merangkap penceramah bagi Bengkel Art Therapy 2.0, Puan Jamaida binti Jamaludin, dan Yang Di-Pertua Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH), saudara Muhammad Firdaus bin Norazman.