Oleh: Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan, TDJIP, FKMT, UPSI

Bangi, 14 September -Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin berkembang pesat diyakini berpotensi menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian negara.

Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan) Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Muhammad Hariz Muhamad Adnan, menyatakan bahawa teknologi AI amat sesuai untuk diteroka oleh belia, yang pada masa sama mampu memberi nafas baharu kepada industri pertanian.

Menurut beliau, teknologi AI dalam sektor pertanian masih baharu di Malaysia dan wajar dimanfaatkan sepenuhnya, terutamanya oleh golongan muda. “Kita semua tahu bahawa kumpulan belia ini menghargai kepantasan dan teknologi sudah sebati dalam kehidupan mereka. AI bukan lagi perkara baharu buat mereka,” katanya.

Beliau menyampaikan perkongsian bertajuk Teknologi AI dalam Pertanian dan projek AI dalam pertanian yang telah di ceburi oleh penyelidik dari UPSI, semasa Kolokium Pameran Pertanian, Hortikultur, dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang diadakan di Hotel Bangi Resort, semalam.

Kolokium yang bertemakan Inovasi Digital dalam Pertanian itu dihadiri kira-kira 300 usahawan muda berusia bawah 45 tahun dari seluruh negara. Dr. Muhammad Hariz juga menegaskan bahawa AI mampu memberikan analisis data mendalam seperti ramalan cuaca, keadaan tanah, serta memantau kesihatan tanaman, sekaligus berpotensi meningkatkan hasil pertanian negara.

Sebagai penyelidik teknologi AI selama lebih 12 tahun, beliau menjangkakan hasil pertanian negara boleh meningkat sehingga 50% jika teknologi AI diperkasa dan dilaksanakan sepenuhnya. “AI menawarkan pelbagai kelebihan yang dapat memanfaatkan negara dan memperkasakan semula sektor pertanian,” tambahnya.

Kolokium ini bertujuan merangsang lebih banyak inovasi dan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian di Malaysia.