Oleh : Haikal Musa

Tanjong Malim, 30 Oktiober 2024 : Dewan Resital Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP), UPSI baru-baru ini menjadi pentas bagi satu program yang berprestij, iaitu Program Apresiasi Sasterawan Negara: Menyingkap Inspirasi dan Legasi Kemala dalam Dunia Sastera. Program berbentuk forum ini diadakan untuk mengupas kisah dan jasa Sasterawan Negara, Kemala, yang telah memberi sumbangan besar dalam dunia kesusasteraan negara. Anjuran ini turut mendapat sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan diusahakan bersama oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan serta Kolej Awang Had Salleh, dengan kelolaan dari Aura Legacy.

Program ini bertujuan menghargai warisan sastera yang ditinggalkan oleh Kemala, seorang alumni Anak Kandung Suluh Budiman. Beliau bukan sahaja menghidupkan nilai estetika dalam penulisan, tetapi juga menerapkan nilai kemanusiaan dan persahabatan dalam karya-karyanya, yang masih relevan dalam kehidupan masa kini.

Dalam sesi forum ini, panel jemputan terdiri daripada tokoh-tokoh akademik seperti Dr. Hasrina Baharum, Dr. Ghazali Din, dan En. Muhd Azman Hj. Mohd Nawi. Mereka berkongsi pandangan mengenai pemikiran dan gaya penulisan Kemala serta bagaimana karya beliau mampu menjadi inspirasi kepada generasi baru. Forum ini dikendalikan oleh moderator En. Amsalib Pisali, pensyarah Jabatan Teater UPSI, yang memberikan suasana mesra dan intelektual sepanjang perbincangan.

Ketua perunding program ini, Dr. Muhammad Faisal bin Ahmad, juga menerima ucapan tahniah di atas perancangan dan usaha gigihnya dalam memastikan kejayaan program ini. Beliau bersama pasukan yang terdiri daripada Profesor Madya Dr. Kamarulzaman bin Mohamed Karim, Dr. Mardiana Ismail, Dr. Muhammad Bayu Tejo Sampurno, dan Dr. Nurulakmal Binti Abdul Wahid, telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam menjayakan acara yang penuh makna ini.

Sebagai penghormatan kepada Kemala, satu pementasan teater bertajuk Malam Perhitungan telah dipersembahkan oleh pelajar FMSP. Teater ini mengangkat tema persahabatan dan penghargaan sesama manusia, yang merupakan nilai teras dalam karya Kemala. Amar Reza, pengarah persembahan yang sedang mencipta nama di arena teater tempatan dan antarabangsa, turut menyampaikan ucapan penuh makna. Menurut beliau, “Nilai dalam cerita menerapkan nilai persahabatan dan nilai penghargaan sesama manusia,” yang sekaligus menjelaskan betapa karya Kemala bukan sahaja memaparkan keindahan sastera, tetapi juga mesej mendalam tentang hubungan kemanusiaan.

Kesimpulannya, Program Apresiasi Sasterawan Negara: Menyingkap Inspirasi dan Legasi Kemala dalam Dunia Sastera merupakan satu usaha bermakna untuk menghidupkan kembali nilai dan falsafah yang dibawa oleh Kemala. Program ini bukan sahaja menghargai jasa seorang sasterawan negara tetapi juga membuka ruang kepada generasi mudar untuk menimba inspirasi dan menghargai seni sastera yang penuh nilai estetika dan kemanusiaan.