Oleh: Afiqah Ibrahim

Banda Aceh, Indonesia – Delegasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang diketuai oleh Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid (MMKHAR) menjalankan diskusi ilmiah berbentuk forum di bawah program Beyond Borders bersama mahasiswa daripada Universitas Islam Negeri (UIN) Ar-Raniry dan Universitas Syiah Kuala dengan tajuk “Peranan dan Fungsi Organisasi Mahasiswa Terhadap Kemajuan Pendidikan Antara Dua Negara.”

Diskusi ini bertujuan untuk membincangkan peranan organisasi mahasiswa dalam memperkasa sistem pendidikan di negara masing-masing serta bagaimana hubungan antara mahasiswa dari Malaysia dan Indonesia dapat memperkukuh kerjasama akademik dan kemajuan pendidikan di kedua-dua negara.

Diskusi yang berlangsung di pejabat Rektor UIN Ar-Raniry ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Prof. Dr. Saifullah S.Ag, M.Ag selaku wakil Rektor UIN Ar-Raniry, Drs. Nasruddin M.hum selaku wakil Dekan 3 Fakultas Psikologi UIN Ar-Raniry serta Dr. Che Anuar bin Che Abdullah selaku ketua delegasi UPSI juga merupakan pengetua Kolej Harun Aminurrashid (KHAR).

Kemudian diteruskan dengan forum yang menampilkan tiga orang panel istimewa dari ketiga-tiga buah universiti iaitu suadara Abbas Ali bin Iftikhar Hussain dari UPSI, saudara Irfan Rahmad Ghafar dari UIN Ar-Raniry dan Mhd. Hafiz Daniel dari Universitas Syiah Kuala.

Suasana diskusi ilmiah di Pejabat Rektor UIN Ar-Raniry

Menurut Siti Nurzahirah binti Zulkifli selaku pengarah program Beyond Borders, “diskusi ini bukan sahaja bertujuan untuk memperluas pemahaman tentang peranan organisasi mahasiswa dalam pendidikan, tetapi juga menjadi jambatan antara mahasiswa Malaysia dan Indonesia dalam membentuk hubungan yang lebih erat di bidang pendidikan. Semoga diskusi ini mampu memberikan impak yang besar dalam kemajuan pendidikan terhadap kedua-dua negara yang terlibat.”

Panel UPSI, Abbas Ali bin Iftikhar Hussain melontarkan pandangan

Pertanyaan pertama yang diajukan oleh moderator ialah mengenai peranan organisasi dalam pendidikan di universiti. Forum ini diteruskan dengan mendengarkan pandangan daripada panel UPSI yang menjelaskan tentang cabaran dan peluang yang dihadapi oleh organisasi mahasiswa di Malaysia dalam memperjuangkan agenda pendidikan. Beliau juga menggariskan inisiatif-inisiatif yang telah diambil oleh organisasi mahasiswa untuk memperkukuhkan sistem pendidikan di Malaysia, termasuklah program-program kebajikan, pembelajaran bersama, serta aktiviti-aktiviti yang memperkasa kemahiran kepimpinan di kalangan mahasiswa.

Seterusnya, wakil mahasiswa UIN Ar-Raniry dan Universitas Syiah Kuala membentangkan peranan mereka sebagai mahasiswa dalam menyumbang ke arah kemajuan pendidikan di Indonesia. Mereka menjelaskan bagaimana organisasi mahasiswa di Indonesia turut memainkan peranan penting dalam memberi input kepada dasar-dasar pendidikan negara, mengadakan seminar-seminar ilmiah, dan menyediakan platform untuk pengembangan profesionalisme di kalangan mahasiswa. Mereka juga tidak tertinggal untuk bertanyakan mengenai peluang yang ada bagi menjalankan program kolaborasi di Malaysia.

Dr. Che Anuar bin Che Abdullah memberikan ucapan selaku ketua delegasi UPSI

Menurut pengetua KHAR, Dr. Che Anuar bin Che Abdullah berkata, “diharapkan diskusi yang menjadi wadah pertukaran idea antara pemimpin pelajar daripada 3 buah universiti ini dapat meningkatkan sistem pendidikan disamping mempererat hubungan antarbangsa. Bersama kita ciptakan solusi global yang bermanfaat bagi masa depan.”

Wakil Rektor UIN Ar-Raniry memberikan ucapan pembukaan

Wakil Rektor UIN Ar-Raniry, Prof. Dr. Saifullah S.Ag, M.Ag dalam ucapannya berkata “kehadiran saudara-saudara semua di kampus kami ini adalah suatu kehormatan yang besar. Saya berharap agar pertemuan ini bukan hanya sekadar acara akademik, tetapi juga merupakan simbol kerjasama antara universitas dan negara dalam usaha memajukan pendidikan tinggi di kawasan kita.”

Wakil pemimpin pelajar Universitas Syiah Kuala Banda Aceh, Indonesia

Salah satu perbincangan utama dalam diskusi ini adalah bagaimana organisasi mahasiswa dapat menjalin hubungan yang lebih erat antara universiti di kedua-dua negara untuk mewujudkan peluang kerjasama pendidikan yang lebih luas. Antaranya ialah cadangan untuk mengadakan program pertukaran pelajar dan kolaborasi penyelidikan antara mahasiswa di Malaysia dan Indonesia. Diskusi ini turut memberi penekanan kepada kepentingan peranan aktif mahasiswa dalam pembangunan pendidikan bukan hanya di peringkat universiti tetapi juga dalam komuniti secara keseluruhan.

Sebelum menutup tirai diskusi, para peserta menyuarakan hasrat untuk meneruskan kerjasama ini melalui kegiatan kolaboratif yang dapat memberi manfaat kepada pelbagai pihak. Mereka bertekad untuk memastikan bahawa peranan organisasi mahasiswa terus diberi perhatian dalam merangka masa depan pendidikan yang lebih baik di kedua-dua negara. Dengan berakhirnya diskusi ilmiah ini, mahasiswa UPSI, UIN Ar Raniry, dan Universitas Syiah Kuala telah membuka peluang untuk hubungan yang lebih erat di bidang pendidikan, yang diharapkan dapat memberi impak positif dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan di Malaysia dan Indonesia.