Oleh: Bazli Razak

MELAKA, 16 Januari 2024 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri Melaka terus komited meningkatkan kualiti pendidikan melalui insiatif penyerahan peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025, di sini, hari ini.

Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program ini merupakan langkah penting dalam memastikan pendidikan para pelajar selari dengan kemajuan teknologi semasa.

Jelasnya, seramai 713 pelajar dari 61 buah sekolah negeri Melaka akan menerima manfaat pengagihan tablet ini sebagai sokongan untuk pembelajaran mereka.

“Saya amat berbesar hati berada di sini bersama-sama para pelajar yang bakal menerima manfaat daripada program ini.

“Peranti ini bukan sekadar alat, ia adalah simbol komitmen kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada pelajar dalam mengejar kecemerlangan pendidikan mereka.

Antara pelajar sekolah yang hadir semasa Majlis Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025.

Tambah beliau, pendidikan masa kini mengalami perubahan yang besar, berbeza dengan zaman persekolahan beliau.

“Dahulu, kami menggunakan kapur dan papan hitam, tetapi kini pelajar dapat mengakses pelbagai sumber ilmu di hujung jari mereka

“Dalam era digital ini, kemajuan teknologi memainkan peranan penting dalam membentuk cara kita belajar.

“Peranti digital kini telah menjadi satu keperluan, bukan hanya untuk akses kepada bahan pembelajaran dalam talian, tetapi juga sebagai alat untuk mengasah kemahiran digital, yang semakin relevan dalam dunia moden,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena merasmikan Majlis Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025 di Grand Ballroom Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka.

Menurutnya, aplikasi seperti Google Classroom dan WhatsApp telah menjadi platform utama dalam proses pembelajaran dan pengajaran, di mana pelajar dapat berinteraksi secara langsung dengan guru serta mengakses tugasan pembelajaran dengan lebih mudah.

“Oleh itu, usaha kerajaan negeri melalui program ini adalah langkah yang tepat untuk memastikan pelajar dapat mengikuti perkembangan teknologi dan memanfaatkan peranti ini untuk meningkatkan kualiti pembelajaran mereka.

“Kami yakin bahawa dengan komitmen berterusan dalam sektor pendidikan, kita akan dapat melahirkan generasi muda yang berdaya saing, celik teknologi, dan siap menghadapi cabaran masa depan,” kata beliau.

Sesi penyerahan tablet kepada wakil-wakil sekolah di negeri Melaka dalam Majlis Penyerahan Peranti Negeri Melaka Bagi Program Anak Kita: SPM 2025 di Grand Ballroom Hotel Mudzaffar, Ayer Keroh, Melaka.

Sementara itu, Ketua Pengarah Unit Pantau MADANI, Pejabat Perdana Menteri, Encik Mohd Khalid Mohamed Latiff, yang memuji inisiatif tersebut sebagai selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

“Program Anak Kita merupakan salah satu inisiatif utama kerajaan untuk memastikan tiada murid yang tercicir dalam sistem pendidikan negara.

“Melalui kerjasama strategik antara pelbagai pihak, termasuk sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil, kami berusaha meningkatkan pencapaian pelajar, terutamanya bagi keputusan SPM.

Menurut beliau, penggunaan teknologi dalam pendidikan seperti aplikasi SideBook dan platform digital lain adalah langkah penting untuk membina keupayaan pelajar menghadapi cabaran masa depan yang didorong oleh kemajuan teknologi.

“Dengan sokongan ibu bapa dan para pendidik, saya berharap peranti ini dapat digunakan secara optimum untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan melahirkan generasi muda yang berdaya saing,” tambah beliau.
Dalam pada iru, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata bahawa inisiatif penyerahan peranti ini adalah selaras dengan komitmen UPSI untuk meningkatkan kualiti pendidikan di negara ini, terutamanya di negeri Melaka.

“Sebagai sebuah universiti pendidikan, UPSI sentiasa mendukung usaha kerajaan dalam memastikan pendidikan dapat diakses secara lebih inklusif dan dinamik.

“Penyerahan peranti ini bukan hanya bertujuan mempermudah akses kepada bahan pembelajaran, tetapi ia juga memberi peluang kepada para pelajar untuk mengembangkan kemahiran digital mereka dengan lebih meluas.

Tambah beliau, di UPSI, kami percaya bahawa teknologi adalah alat yang penting dalam memperkasa proses pengajaran dan pembelajaran.

“Dengan peranti ini, pelajar bukan sahaja dapat mengakses pembelajaran dalam talian, tetapi juga mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi cabaran teknologi yang semakin pesat berkembang, ujar beliau.

Hadir sama Rektor IPGM yang menjalankan tugas TKPPM (Sektor Pembangunan Profesionalisme), Dr. Mohd Azam Ahmad; Timbalan Pengarah Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka, Tuan Haji Karim Tumin; Pemegang Amanah dan Pengarah Urusan, Yayasan Hasanah, Puan Siti Kamariah Subki