Oleh: Norshawati Shahrun Nizam

Kuala Lumpur, 15 Januari 2025– Persatuan Mahasiswa Sejarah (PERMAS), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan program lawatan “Arkib Negara: Destinasi Mahasiswa Menimba Ilmu Sejarah.” Program ini telah berlangsung di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Program lawatan ini melibatkan mahasiswa Sejarah semester 1 ambilan 2024/2025 yang turut disertai oleh pensyarah bagi subjek HST3013: Teori Kaedah dan Sejarah iaitu Dr Siti Zahrah Mahfood.

Progam lawatan “Arkib Negara: Destinasi Mahasiswa Menimba Ilmu Sejarah” ini merupakan program yang bertujuan memberi kesedaran kepada bakal pendidik UPSI dalam memahami, mencari dan membaik pulih sumber sejarah dan bahan arkib. Program ini juga dapat memberi manfaat dan pendedahan kepada mahasiswa UPSI berkaitan dengan cara mengakses sumber primer di Arkib Negara Malaysia. Selain itu, lawatan ini dilaksanakan juga bagi membantu mewujudkan rasa cinta akan warisan negara dalam kalangan pelajar universiti. Program ini telah berjaya melibatkan mahasiswa Sejarah seramai 121 orang.

Menurut Dr Siti Zahrah dalam ucapannya menyatakan bahawa progam lawatan ke Arkib Negara ini dapat memberi impak yang positif serta membantu memberi pendedahan kepada mahasiswa UPSI terutamanya pelajar sejarah tentang pencarian maklumat atau bahan rujukan yang lebih efisien. Tambahan pula, menurut Dr. Siti Zahrah lawatan arkib ini bukan sahaja terhad kepada pencarian dokumen bersejarah malahan lawatan ini membuka peluang kepada mahasiswa yang terlibat untuk menyaksikan secara “live” proses membaik pulih dokumen bersejarah negara yang berharga. Tambahan dari ucapan, Dr turut menyentuh dimana terdapat pelajar yang kurang memanfaatkan sepenuhnya penggunaan dokumen arkib di dalam penulisan. Jadi dengan adanya lawatan ini, membantu para pelajar untuk memanfaatkan sepenuhnya ilmu supaya berguna pada masa akan datang.

Aniq wakil daripada pihak Arkib Negara telah memberi ucapan dan mengalu-alukan kedatangan mahasiswa UPSI ke Arkib Negara. Encik Aniq memberi pendedahan dimana Arkib Negara bukan sahaja tempat dimana penyimpanan rekod-rekod bersejarah negara. Namun, Arkib Negara juga menjadi tempat dimana staf-staf yang berkelayakan untuk melakukan proses-proses membaik pulih warisan negara. Menurut Aniq dokumen-dokumen bersejarah negara perlu dijaga dengan rapi kerana ia merupakan peristiwa penting yang berlaku pada negara. Di dalam ucapannya, Aniq juga telah menerangkan serba sedikit peranan arkib, monumen-monumen bersejarah di Malaysia serta jabatan yang wujud bagi mengendalikan operasi di Arkib Negara.