Oleh: Zahratul Ain Zaidi dan Dr. Nur Ainul Basyirah Alias
Sungai Buloh, 19 April 2025 – Persatuan Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (PPI) bagi sidang 2024/2025 telah menganjurkan sebuah program bersama dengan anak-anak yatim yang diberi nama Perkongsian ‘Prihatin Diri’ dan Raikan Aidilfitri Bersama Anak Yatim.
Program ini telah dilaksanakan di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor yang melibatkan murid-murid sekolah rendah daripada darjah 1 hingga darjah 6 di rumah kebajikan tersebut dan juga disertai oleh 30 orang ahli jawatankuasa daripada Persatuan Pendidikan Islam.



Program Perkongsian Prihatin Diri dan Raikan Aidilfitri Bersama Anak Yatim merupakan sebuah program yang dianjurkan bertujuan untuk menyantuni anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dengan menyediakan pelbagai juadah raya selain memberikan sumbangan alat tulis kepada murid-murid darjah 1 hingga darjah 6. Sumbangan ini bertujuan untuk melengkapkan keperluan mereka dan menjentik semangat mereka untuk menuntut ilmu di sekolah.
Selain itu, melalui program ini juga, murid-murid perempuan darjah 4 hingga darjah 6 dapat didedahkan dengan ilmu baharu berkait dengan penjagaan diri wanita serta ilmu berkaitan darah haid yang akan dilalui oleh mereka setelah meningkat remaja.
Perkongsian ilmu daripada Dr. Nur Ainul Basyirah berkaitan darah haid memberikan pendedahan awal kepada murid-murid perempuan akan kepentingan menjaga kebersihan dan kesihatan diri sebagai seorang wanita.



Seterusnya, objektif lain program ini adalah untuk memberikan kegembiraan kepada anak-anak yatim di sana dengan menyediakan pelbagai aktiviti-aktiviti menarik seperti melukis dan mewarna.
Murid-murid dapat mengeluarkan bakat masing-masing melalui aktiviti melukis cita-cita dan pekerjaan impian mereka sambil dibantu oleh ahli jawatankuasa program.
Program ini bukan sahaja menghidupkan semangat Aidilfitri malah turut menjadi medan menyemai rasa empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Program ini memberi pelbagai manfaat dan impak yang positif kepada kedua-dua pihak yang mana ia dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa/i Persatuan Pendidikan Islam UPSI dan anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras.
Semoga inisiatif kecil ini, dapat meringankan beban dan membantu anak-anak yatim di Rumah Kasih Harmoni dalam mendapat ilmu yang bermanfaat untuk kegunaan masa hadapan.