Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 7 Mei – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkasa budaya sukan dan kecergasan dalam kalangan warganya menerusi penganjuran Karnival Sukan Staf UPSI (KIESTA) 2025, sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Universiti Malaysia (SUKUM) 2026.
Penganjuran KIESTA kali ini memberi tumpuan kepada acara sukan berprestasi tinggi dan bersifat selektif, sejajar dengan usaha melahirkan atlet yang mampu bersaing di peringkat kebangsaan.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, penganjuran KIESTA 2025 merupakan satu langkah strategik untuk meningkatkan penyertaan aktif dalam sukan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan seluruh warga universiti.
“UPSI sentiasa menyokong program amalan gaya hidup sihat dan budaya bersukan. KIESTA ini bukan sahaja platform untuk bersaing, tetapi juga sebagai ruang memperkasa semangat kesukanan dalam kalangan staf dan pelajar.
“Budaya bersukan tidak seharusnya terhenti selepas tamat penganjuran KIESTA, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang tahun dengan melibatkan semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) secara aktif.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan KIESTA 2025 bertempat di Stadium UPSI, Kampus Sultan Sultan Azlan Shah, UPSI, hari ini.
“UPSI percaya bahawa setiap warga kita memiliki potensi besar dalam sukan. Dengan pendekatan ‘Impossible is Nothing’, kita yakin dapat mencungkil dan membentuk bakat baharu yang mampu membawa nama UPSI ke persada kebangsaan,” ujar beliau.
Dalam pada itu, majlis ini juga turut menyaksikan acara perarakan kontinjen terbaik yang dimenangi oleh kontinjen Kapten Yazid, manakala di tempat kedua dimenangi oleh kontinjen Ungku Omar dan ditempat ketiga disandang oleh kontinjen Harun Aminurrashid.


Sementara itu, Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga UPSI yang hadir serta kontinjen yang bertanding dalam KIESTA 2025.
Beliau berkata, penganjuran sukan kali ini bersifat lebih selektif dengan memfokuskan kepada sukan prestasi tinggi sebagai persiapan awal untuk menghadapi kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) 2026.
“Sebanyak 20 acara sukan dipertandingkan dalam KIESTA yang berlangsung dari 2 Mei hingga 11 Mei, melibatkan penyertaan lapan kontinjen yang terdiri daripada pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ).
“Ini membuktikan komitmen tinggi warga UPSI terhadap pembangunan sukan di universiti ini.
Menurut Helmi, Pusat Sukan UPSI telah diberi amanah untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program kecergasan, dan beliau menyeru seluruh warga universiti untuk aktif menyertai setiap program yang dianjurkan.


“Saya juga menggalakkan mana-mana PTJ yang berminat untuk menganjurkan aktiviti kecergasan supaya berkolaborasi dengan Pusat Sukan, dalam usaha memperluaskan budaya bersukan di UPSI.
Helmi berkata, rombakan kontinjen UPSI bagi tempoh 2025 hingga 2029 mengambil kira bilangan staf, jantina, gred dan umur, bagi memastikan penglibatan yang lebih menyeluruh dan inklusif dalam setiap pertandingan.
“KIESTA 2025 bukan sekadar acara one-off. Ia mesti menjadi permulaan kepada budaya sukan yang berterusan dan amalan gaya hidup sihat sepanjang tahun.
“Diharapkan penganjuran kali ini dapat melahirkan bakat-bakat sukan berkualiti yang mampu diketengahkan untuk mewakili UPSI pada SUKUM 2026 kelak,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPSI, Profesor Dr. Suriani Abu Bakar; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid Salimin; Bendahari UPSI, Encik Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang UPSI, Puan Salwati Mohd Aris; Ketua Pustakawan UPSI, Cik Noriha Muhammad; Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Profesor Dr. Azmi Mohamed; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril.
