Oleh: Bazli Razak
Tanjong Malim, 11 Mei 2025 – Kontinjen Aminuddin Baki membuktikan keunggulan mereka apabila dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan Karnival Sukan Staf UPSI (KIESTA) 2025 yang berlangsung dari 2 hingga 11 Mei 2025 di sekitar gelanggang sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dengan kutipan 28 pingat emas, 15 perak dan 13 gangsa, kontinjen ini mengungguli saingan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.00 sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang mereka.
Pendaftar UPSI, Encik Helmi Zaifura Abdul Rahman, merakamkan ucapan tahniah kepada semua kontinjen, khususnya Aminuddin Baki atas kejayaan berganda yang dicapai.
“KIESTA bukan sekadar tentang sukan, tetapi tentang kebersamaan, disiplin dan semangat kesatuan dalam kalangan staf UPSI.
“Saya amat berbangga melihat bagaimana staf kita menunjukkan komitmen tinggi, bukan sahaja dalam kerjaya profesional, malah dalam aktiviti luar seperti ini.

Katanya, UPSI sentiasa menyokong usaha memperkasakan kesejahteraan warga universiti melalui aktiviti riadah dan rekreasi.
“Kejayaan kontinjen Aminuddin Baki menyerlahkan kekuatan dari segi kesepaduan pasukan, semangat juang tinggi dan perancangan strategik yang mantap.
“Kita ingin melahirkan warga kerja yang sihat, cergas dan berdaya saing. Penganjuran seperti KIESTA ini menjadi platform terbaik untuk mengimbangi tuntutan kerjaya dengan gaya hidup sihat.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penutupan KIESTA 2025 yang berlangsung di Arena, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI, baru-baru ini.
KIESTA 2025 menyaksikan penyertaan daripada 8 kontinjen melibatkan 20 jenis acara sukan, antaranya bola jaring, bola tampar, sepak takraw, badminton, ping pong, perahu naga, berbasikal dan futsal.
“Syabas buat kontinjen Aminuddin Baki yang bukan sahaja menunjukkan prestasi hebat, tetapi juga semangat kesukanan yang luar biasa.
Tempat kedua disandang oleh kontinjen Ungku Omar dengan kutipan 21 emas, 30 perak dan 21 gangsa.
Sementara itu, kontinjen Ahmad Bakhtiar yang turut mempamerkan aksi konsisten berjaya menduduki tempat ketiga dengan pungutan 18 pingat emas, 21 perak dan 25 gangsa, sekaligus melengkapkan kedudukan tiga teratas dalam carta keseluruhan KIESTA 2025.
Dalam pada itu, majlis ini juga turut meraikan ialah atlet cemerlang dari pelbagai kontinjen. Pensyarah, Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) UPSI, Dr. Mohamad Rozi Kasim dinobatkan sebagai Olahragawan KIESTA 2025 dengan kutipan 3 emas, 1 perak dan 2 gangsa, membawa pulang wang tunai RM500.00.
Gelaran Olahragawati pula diberikan kepada Pembantu Keselamatan, Sarjan Mejar PB Cik Zahida Zainal Abidin yang mengungguli kejohanan dengan 6 emas dan 1 perak, turut menerima wang tunai RM500.00.

“Penganjuran KIESTA 2025 bukan sahaja menjadi medan kecergasan fizikal dan mental, malah mempererat hubungan silaturahim dalam kalangan staf UPSI.
“Kejayaan besar kontinjen Aminuddin Baki merupakan manifestasi komitmen dan semangat kesukanan luar biasa yang wajar dijadikan contoh oleh seluruh warga universiti,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Pusat Sukan UPSI, Mohammad Faeez Mohamad Alias; Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat UPSI, Profesor Dr. Mohd Izwan Shahril; Ketua Pegawai Digital UPSI, Ts. Dr. Megat Azrin Ahmad; Ketua Pustakawan, Cik Noriha Muhammad; Bendahari UPSI, Mohamad Najib Mohamed; Penasihat Undang-Undang UPSI, Salwati Mohd Aris
