Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Cyberjaya, 5 Mei 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), telah mengadakan satu kunjungan hormat dan sesi perbincangan rasmi bersama Jabatan Standard Malaysia bertempat di ibu pejabat jabatan tersebut di Cyberjaya.
Kunjungan ini merupakan satu langkah strategik dalam usaha NCDRC ke arah mendapatkan akreditasi bagi program dan produk yang dibangunkan, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan kebangsaan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak.
Delegasi NCDRC diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Inovasi), Dr. Intan Farahana Abdul Rani dan Pegawai Teknologi Maklumat, Encik Eimiza Faisha Azmi.


Turut hadir dalam sesi perbincangan tersebut ialah pasukan pengurusan daripada Pusat Penyelidikan Pedagogi dan Inovasi (CPRI), UPSI yang diketuai oleh Profesor Dr. Nordin Mamat, yang turut berkongsi pandangan dan sokongan terhadap inisiatif pensijilan dan standardisasi dalam bidang pendidikan untuk para guru.
Manakala dari Jabatan Standard Malaysia diketuai oleh Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Standardisasi Encik Mohd Azrul Che Aziz.
Kunjungan hormat ini bertujuan mendapatkan panduan serta penerangan terperinci berkenaan prosedur dan garis panduan yang perlu dipatuhi dalam proses pensijilan standard dan akreditasi.
Ia selaras dengan komitmen berterusan NCDRC untuk memastikan segala inisiatif pembangunan program, modul latihan, serta sistem data yang diwujudkan memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa berkaitan.


Sejak penubuhannya pada tahun 2006 melalui mandat Kabinet Malaysia, NCDRC telah memainkan peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan pendidikan awal kanak-kanak negara.
Pusat ini menjalankan pelbagai penyelidikan berkaitan perkembangan kanak-kanak, menyediakan latihan kepada pengasuh dan pendidik, serta membangunkan sistem pangkalan data kebangsaan, iaitu National Child Data Centre (NCDC) yang berfungsi untuk memprofil, memantau dan menyelidik perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Menurut Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, pertemuan ini sangat penting bagi memperkukuh usaha NCDRC ke arah pembangunan program yang bukan sahaja berkualiti, malah diiktiraf secara rasmi.
“NCDRC beriltizam untuk memastikan setiap program dan produk yang dibangunkan dapat memenuhi standard nasional demi memberikan impak maksimum kepada komuniti pendidikan awal negara.
“Kami percaya bahawa dengan panduan daripada Jabatan Standard Malaysia, matlamat ini akan lebih mudah dicapai,” ujar beliau.
Tambah beliau lagi, kerjasama strategik antara institusi penyelidikan dan badan pengawalseliaan seperti ini akan memberi nilai tambah kepada pembangunan dasar dan amalan pendidikan awal yang lebih sistematik, mampan dan berpaksikan data.
“Kami amat menghargai keterbukaan pihak Jabatan Standard Malaysia dalam memberikan maklumat serta sokongan yang sangat diperlukan dalam proses ini,” katanya.
Kerjasama antara NCDRC dan CPRI dalam inisiatif ini turut memperlihatkan sinergi antara dua pusat penyelidikan utama UPSI dalam memperjuangkan standard pendidikan yang tinggi bermula dari peringkat kanak-kanak.
Professor Dr. Nordin bin Mamat menyatakan bahawa usaha ke arah standardisasi ini penting untuk menyelaraskan pelbagai pendekatan dan amalan pengajaran agar lebih berfokus dan berkesan.
Kunjungan ini diharap menjadi permulaan kepada kerjasama lebih erat antara UPSI dan Jabatan Standard Malaysia dalam membangunkan garis panduan khusus berkaitan pendidikan awal kanak-kanak.
Ia juga mencerminkan komitmen UPSI sebagai universiti pendidikan unggul dalam menyumbang kepada pembangunan dasar dan amalan yang berkualiti, selari dengan aspirasi negara.
