Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Johor Bahru, 11 Mei 2025 – Bengkel Penulisan Manuskrip Buku Cilik Jauhar Siri 2/2025 anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya pada 10 hingga 11 Mei 2025 bertempat di Hotel Grand Paragon, Johor Bahru.
Bengkel intensif selama dua hari ini menghimpunkan gabungan tenaga kreatif yang terdiri daripada penulis utama dari NCDRC UPSI, guru-guru terlatih YPKDT, wakil Yayasan Warisan Johor, serta ilustrator profesional bagi menghasilkan karya berkualiti tinggi untuk kanak-kanak prasekolah berumur 3 hingga 4 tahun.
Sebanyak 12 manuskrip buku cerita kanak-kanak berjaya dihasilkan dalam bengkel ini, masing-masing mengandungi ciri-ciri keunikan budaya, alam sekitar dan warisan negeri Johor.
Inisiatif ini bukan sahaja memperkaya bahan literasi awal kanak-kanak, tetapi turut menjadi medium penting dalam memperkenalkan identiti negeri Johor kepada generasi muda.


Menariknya, bengkel ini turut melibatkan barisan editor berpengalaman serta ketua editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur dan DBP Wilayah Selatan.
Kehadiran mereka telah memberikan bimbingan berharga serta membuka ruang kepada siri pemurniaan demi pemurniaan untuk memastikan setiap manuskrip yang dihasilkan mencapai standard penerbitan yang tinggi dan memenuhi ciri-ciri kebahasaan, kesesuaian kandungan serta nilai estetika yang diperlukan dalam buku kanak-kanak berkualiti.
Para peserta bengkel telah diberi ruang untuk berkolaborasi secara aktif dalam sesi penulisan, perbincangan konsep visual bersama ilustrator, serta pemurnian kandungan berdasarkan prinsip pedagogi awal kanak-kanak.
Setiap karya menekankan nilai murni, pemikiran kreatif, serta bahasa yang sesuai dengan perkembangan anak kecil.
Menurut pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa kolaborasi rentas agensi seperti ini amat signifikan dalam memperkukuh ekosistem bahan bantu belajar tempatan yang berpaksikan budaya dan nilai nasional. Ia juga selaras dengan aspirasi Pendidikan Berkualiti di bawah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4).



Buku-buku yang dihasilkan melalui Siri Jauhar ini dijangka akan diterbitkan dan digunakan dalam institusi pendidikan awal di Johor sebagai salah satu sumber pengayaan untuk merangsang minat membaca dan kecintaan terhadap budaya tempatan dalam kalangan kanak-kanak.
Bengkel ini membuktikan bahawa sinergi antara ahli akademik, guru praktikal, institusi kebudayaan dan tenaga kreatif mampu melahirkan produk pendidikan yang berkualiti, relevan dan berimpak tinggi.
