Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjung Malim, 14 Mei 2025 – NCDRC UPSI telah menerima kunjungan rasmi daripada pihak MIMOS Berhad bertempat di Bilik Mesyuarat Sapphire, NCDRC.

Pertemuan ini merupakan langkah susulan ke arah pelaksanaan Tadika MIMOS di bawah inisiatif MIMOS Junior Academy (MJA) yang berteraskan Pendidikan STEM untuk kanak-kanak prasekolah.

Perbincangan yang berlangsung dari jam 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini telah memfokuskan kepada beberapa kerjasama strategik antara MIMOS dan NCDRC, termasuk bimbingan dalam pembangunan silibus dan bahan bantu mengajar berasaskan pendekatan STEM, penilaian serta penambahbaikan kandungan kurikulum sedia ada, dan latihan profesional kepada tenaga pengajar MJA melalui pakej perundingan NCDRC.

Delegasi MIMOS turut menyatakan minat terhadap potensi penempatan pelajar latihan industri UPSI di Tadika MIMOS serta kemungkinan kolaborasi penyelidikan bersama penyelidik UPSI.

Dalam sesi ini, pihak NCDRC telah membentangkan cadangan kerjasama yang boleh dirangka dan dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara NCDRC dan MIMOS.

Kesepakatan dari perbincangan yang dicapai membuka peluang luas kepada kedua-dua institusi dalam merealisasikan visi pendidikan awal yang lebih inovatif dan berimpak tinggi.

Kerjasama ini membuka lembaran baharu ke arah pelaksanaan pendidikan awal berasaskan STEM yang lebih sistematik dan mampan.

MIMOS Junior Academy bakal menjadi perintis dalam menyediakan pendidikan yang selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, dengan UPSI dan NCDRC memainkan peranan penting sebagai rakan strategik dalam menjayakan visi ini.