Oleh: Intan Farahana Abdul Rani

Tanjung Malim, 15 Mei 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi International TVET Academy (ITA) dalam satu sesi perbincangan strategik yang berlangsung pada jam 10.00 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Utama Sapphire, NCDRC.

Kunjungan ini merupakan satu inisiatif awal ke arah menjalinkan hubungan kolaboratif antarabangsa dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, selari dengan aspirasi UPSI sebagai peneraju kecemerlangan pendidikan negara.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah pihak pengurusan NCDRC yang berkepakaran dalam pelbagai bidang berkaitan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak dan dari pihak ITA diketuai oleh Dr. Cheong Chee Khing selaku Pengarah yang juga merupakan pengasas International TVET Academy bersama Pn. Aisyah iaitu pegawai yang menguruskan Hal Ehwal Pelatih.

Perbincangan yang diadakan telah memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan program sijil dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak, termasuk cadangan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) antara NCDRC dan International TVET Academy.

Langkah ini dilihat mampu membuka peluang kerjasama yang lebih luas dalam pelaksanaan program latihan, pembangunan modul bersama serta perkongsian sumber dan kepakaran.

Delegasi International TVET Academy turut menyatakan minat yang tinggi terhadap Kursus Asuhan Permata (KAP) yang ditawarkan oleh NCDRC, terutamanya kerana keunikan pelaksanaan program ini yang dijalankan dalam persekitaran universiti.

Persekitaran akademik yang kondusif, disokong oleh kemudahan penyelidikan serta tenaga pakar dalam bidang pendidikan awal, menjadikan pelaksanaan KAP di NCDRC lebih berdaya saing berbanding agensi-agensi lain.

Selain membincangkan pengembangan program sijil dan KAP, sesi tersebut turut menyentuh tentang penawaran pakej latihan profesional yang berpotensi dilaksanakan secara bersama.

Antara latihan yang dicadangkan termasuklah kursus kesedaran keibubapaan yang memberi tumpuan kepada pemahaman ibu bapa terhadap perkembangan anak dan kaedah asuhan yang sesuai, serta kursus berkaitan profesionalisme dalam pengendalian kanak-kanak berkeperluan khas yang ditujukan khusus kepada pendidik dan pengasuh di tadika dan Taska.

Kedua-dua kursus ini bukan sahaja akan meningkatkan tahap pengetahuan dan kemahiran para peserta, malah akan memperkukuh kualiti perkhidmatan pendidikan awal yang diberikan di lapangan.

Secara keseluruhannya, kunjungan delegasi International TVET Academy ini dilihat sebagai satu langkah signifikan ke arah membina jaringan kerjasama global dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Ia juga membuktikan komitmen NCDRC dan UPSI dalam mengukuhkan peranan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan pendidikan kanak-kanak bukan sahaja di peringkat nasional, malah di peringkat serantau dan antarabangsa.

Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak telah mencapai persefahaman awal untuk meneroka bentuk kerjasama formal dalam masa terdekat, termasuk pelaksanaan program bersama, penyelidikan kolaboratif serta pertukaran tenaga pakar dan pelatih rentas negara.

NCDRC komited untuk terus menjadi peneraju inovasi dalam pendidikan awal kanak-kanak dan bertekad menyumbang secara aktif kepada pembangunan modal insan bermula dari peringkat akar umbi.

Diharapkan kunjungan dan perbincangan ini menjadi pemangkin kepada pelbagai inisiatif masa depan yang memberi impak besar kepada landskap pendidikan awal di Malaysia dan rantau ini.