Oleh: Maznah Othman
Ipoh, 27 Mei 2025 – Majlis Apresiasi Pusat ICT 2025 yang berlangsung dengan penuh meriah semasa Bengkel Retreat Pusat ICT di MU Hotel, Ipoh, Perak pada 24 Mei menjadi medan penghargaan atas dedikasi dan semangat luar biasa kakitangan Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (Pusat ICT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Kemuncak majlis pada malam itu ialah pengiktirafan kepada Nor Azwa Mohammad @ Mohammad Khairuddin yang dinobatkan sebagai Ikon Pusat ICT 2024 dan Ikon Sukan Pusat ICT 2024. Pengiktirafan ini hasil undian majoriti warga kerja yang mengiktiraf keperibadian dan komitmen tinggi beliau sepanjang tahun.
Dinilai berdasarkan prestasi kerja, keterlibatan aktif, dan sumbangan terhadap jabatan Nor Azwa bukan sahaja menyerlah dalam tugas harian, malah turut menonjol dengan pesona dan karisma tersendiri dan menjadi inspirasi kepada rakan sekerja.
“Terkejut dan sangat gembira!” – Itulah reaksi spontan Nor Azwa sejurus namanya diumumkan sebagai pemenang.
“Memang tak sangka langsung, ramai lagi rakan-rakan yang lebih hebat. Tapi alhamdulillah, ini rezeki. Terima kasih kepada semua yang menyokong dan membantu selama ini,” ujarnya dengan penuh rendah hati.


Apabila ditanya tentang makna anugerah ini, Nor Azwa menyatakan bahawa ia menjadi pembakar semangat untuk terus maju.
“Bukan mudah nak capai semua ini. Ia perlukan usaha berterusan dan semangat yang kuat. Saya harap kemenangan ini menjadi dorongan untuk terus berbakti dengan lebih ikhlas dan bersungguh-sungguh.”
Pegangan kerja beliau juga cukup jelas dan praktikal – “Buat kerja pastikan siap, jangan tangguh.” Prinsip ini, digabungkan dengan keikhlasan kerana Allah Taala, menjadi panduan utama dalam setiap tugasan yang dipikul.
Beliau turut menzahirkan penghargaan yang tidak berbelah bahagi kepada keluarga dan rakan sekerja yang banyak menyokong sepanjang perjalanan kerjayanya.
“Keluarga adalah sumber kekuatan saya. Mereka sentiasa mendoakan, memahami dan memberi semangat. Tidak dilupakan juga rakan-rakan sekerja di Pusat ICT yang menjadi tulang belakang sepanjang saya berkhidmat di Pusat ICT,” katanya.
Sebagai seorang yang juga aktif dalam bidang sukan, Nor Azwa percaya penglibatannya dalam sukan banyak dipengaruhi oleh sahabat-sahabat yang komited dan sentiasa bersama dalam menjayakan gaya hidup sihat.
“Dalam jabatan, saya sentiasa berusaha melaksanakan tugas dengan ikhlas dan memberikan yang terbaik. Dalam bidang sukan pula, saya memastikan diri kekal cergas serta mengamalkan gaya hidup sihat,” jelas beliau.
“Sebagai Tokoh Pusat ICT, saya percaya sumbangan saya memberi impak yang menyeluruh kepada jabatan dan warga UPSI.”
Nor Azwa turut menitipkan harapan kepada rakan-rakan di Pusat ICT agar sentiasa melibatkan diri dalam aktiviti kecergasan, bukan sahaja untuk kesihatan, tetapi juga untuk memperkukuhkan hubungan sesama warga kerja.
Akhir sekali, apabila ditanya tentang sumber inspirasi beliau, Nor Azwa menyatakan bahawa keinginan untuk memperbaiki diri dan kekal positif adalah kunci utama.
Turut diraikan pada malam tersebut ialah seramai 11 penerima anugerah daripada pelbagai kategori, antaranya:
- Tokoh Kepimpinan – Bahagian Governan & Strategik: Hakimah Nur Che Azhar
- Tokoh Kepimpinan – Bahagian Teknikal & Operasi: Ahmad Kamil Midin
- Tokoh Kepimpinan – Bahagian Infrastruktur: Mohd Sufian Ahmad
- Tokoh Kepimpinan – Bahagian Aplikasi Kampus Digital: Firdaus Ahamad Rapani
- Tokoh Kepimpinan – Bahagian Pangkalan Data & Aplikasi Korporat: Erma Nuriati Adnan
- Tokoh Sukan (Lelaki): Mohd Asri Adnan
- Tokoh Keterampilan (Lelaki): Ridzuan Abdul Kadir
- Tokoh Keterampilan (Perempuan): Masnah Mohd Hussin
- Tokoh Kreatif & Inovatif: Abdul Mueiz Rosli
- Tokoh Sahsiah Terpuji: Mohd Zulhanafi Hashim
- Tokoh Khidmat Masyarakat: Amirul Amin Md Jabarulla
- 8 Penerima Anugerah 10 Tahun Perkhidmatan di Pusat ICT, UPSI
- 12 Penerima Anugerah Kehadiran Terbaik 2024

Setiap penerima anugerah telah diberikan trofi dan sijil penghargaan sebagai tanda pengiktirafan atas sumbangan mereka. Pusat ICT, UPSI merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua penerima anugerah dan semoga menjadi inspirasi kepada seluruh warga institusi.

