Oleh: Pusat ICT, UPSI
TANJONG MALIM, 27 Mei 2025 – Sekalung tahniah dan syabas diucapkan kepada Maznah Othman, Pegawai Teknologi Maklumat dari Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (Pusat ICT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah meraih Pingat Emas dalam International Education Innovation Competition (Edu@Innovate) 2025, bertempat di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI baru-baru ini.
Sistem ini merupakan hasil pembangunan bersama yang menggabungkan kepakaran daripada Pusat ICT dan Pusat Pembangunan Akademik (PPA), UPSI. Pembangun sistem yang turut sama terlibat ialah Mohamad Said Nizamuddin Nadim dari PPA.
Diketuai oleh ChM. Dr. Yuhanis binti Mhd Bakri juga dari PPA, pasukan ini membangunkan T.E.R.E.R. sebagai sistem yang menyokong usaha universiti memperkasa pengurusan bakat akademik secara sistematik, telus dan berimpak tinggi.
T.E.R.E.R telah mentransformasikan proses pengurusan Anugerah Akademia UPSI (A2U) di bawah naungan Anugerah Akademia Bitara (AKIRA), dengan memberi penekanan kepada digitalisasi menyeluruh, ketelusan, kecekapan, serta pemarkahan automatik dan analitik berasaskan data.
Turut mencatat kejayaan cemerlang dalam Edu@Innovate 2025 ialah sistem Geo Attendance, yang dibangunkan hasil kerjasama antara Pusat ICT dan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, apabila turut meraih Pingat Emas dalam pertandingan tersebut.

Kejayaan ini adalah sebagai usaha berterusan UPSI dalam memacu inovasi digital melalui kerjasama rentas jabatan, sekaligus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju transformasi pendidikan negara.

