Oleh: Prof Madya Dr Shakinaz Desa, Dr Mohd Fadhil Harfiez, Dr Aisyah Mohamad Sharif
TANJONG MALIM, 28 Mei 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan negara dengan penganjuran Bengkel Kembara AI Bitara Siri 1 melalui Pusat STEM UPSI, bertempat di Makmal Exa, Pusat ICT UPSI pada 27 dan 28 Mei 2025.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama strategik antara Pusat STEM UPSI, Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) Hulu Selangor yang diketuai oleh Shahrul Riza Razali, serta Pusat Teknologi Maklumat (PTM) UPSI, melibatkan 67 guru dan alumni Anak Kandung Suluh Budiman (AKSB) dari semua sekolah di seluruh daerah Hulu Selangor.


Sesi bengkel telah dikendalikan oleh dua fasilitator utama, Profesor Madya Dr Shakinaz Desa dari Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dan Dr Mohd Fadhil Harfiez dari Fakulti Komputeran dan META Teknologi (FKMT), dengan sokongan teknikal daripada warga PTM. Mereka membimbing peserta dalam menguasai kemahiran penulisan prompt AI yang efektif, seiring dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan.
Peserta turut didedahkan kepada isu “Clash of Generation”, yang menekankan keperluan untuk menyesuaikan kaedah pembelajaran dengan keunikan Generasi Z dan Alpha yang bakal mencorak hala tuju pendidikan negara. Latihan ini membuka ruang kesedaran kepada peserta tentang pentingnya perubahan dalam strategi pengajaran yang lebih responsif terhadap ciri digital pelajar masa kini.


Dalam sesi amali, peserta berjaya menjana imej daripada teks, menghasilkan video daripada imej, serta memahami strategi penulisan prompt yang berkesan menggunakan pelbagai platform AI generatif. Seorang guru dari SK Sungai Choh berkongsi bahawa beliau kini lebih yakin dalam menggunakan prompt secara berstruktur. Beliau juga berkata, “Saya tidak tahu pun bahawa cara bertanya kepada ChatGPT juga memerlukan kemahiran.” Sementara itu, Siti Aminah Che Hashim, pegawai SISC+, menyifatkan bengkel ini sebagai satu peluang berharga untuk mendalami aplikasi AI dalam pendidikan.
Program ini mendapat sambutan positif dan dilihat sebagai pemangkin kepada transformasi pendidikan digital, menyokong aspirasi negara dalam memperkasa guru sebagai ejen perubahan abad ke-21.
Sebagai kesinambungan, KEMBARA AI BITARA Siri 2 dan 3 akan memfokus kepada pembangunan GPT tersuai (customized GPT) untuk bahan pembelajaran kendiri dan pengurusan data sekolah. Melalui siri program ini, Pusat STEM UPSI memperkukuh komitmennya dalam membina ekosistem pendidikan berasaskan AI yang holistik dan mampan.
