Tenaga pengajar, fasilitator dan sebahagian peserta yang telah diatur secara berkumpulanTenaga pengajar, fasilitator dan sebahagian peserta yang telah diatur secara berkumpulan

Oleh: ChM. Dr. Siti Munirah Sidik, Dr Alene Tawang, Dr Wan Haslinda Wan Ahmad dan Dr Norlinda Daud, Fakulti Sains dan Matematik

Tanjung Malim, 23 Jun 2025 – Dalam dunia pendidikan yang semakin berteraskan teknologi, pendekatan tradisional dalam pengajaran sains kini diberi nafas baharu.

Terkini, penggunaan peralatan berteknologi tinggi telah mula digunakan untuk meneroka morfologi haiwan kecil – satu inisiatif yang dilihat bukan sahaja menarik, malah memberi impak besar terhadap cara murid memahami dunia sains.

Gabungan antara teknologi tinggi dan strategi pedagogi moden membuka ruang kepada pendekatan pembelajaran yang lebih mendalam dan bermakna.

Memahami Dunia Mikro Labah-labah
Memahami Dunia Mikro Labah-labah
Murid diberikan peluang membandingkan anatomi dan morfologi labah-labah menggunakan kanta pembesar

Melalui penggunaan mikroskop imbasan elektron yang menggunakan sumber elektron pancaran medan (Field Emission Scanning Electron Microscope, FESEM), murid berpeluang meneroka morfologi haiwan kecil seperti serangga dan labah-labah dengan lebih terperinci dalam bentuk tiga dimensi.

Teknologi ini membolehkan penghasilan imej permukaan sampel dengan resolusi yang sangat tinggi dan mampu memperbesar imej sehingga 1, 000, 000 kali ganda dan boleh menyediakan gambaran imej sehingga ke saiz nanometer (nm).

Dengan penggunaan SEM, murid bukan sahaja melihat gambaran mikroskopik yang realistik, malah mereka didedahkan kepada proses penyediaan sampel, teknik pewarnaan, dan analisis imej digital – suatu pengalaman pembelajaran yang holistik dan praktikal.

Ini menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan dan pada masa yang sama, lebih menyeronokkan.

Murid diberikan peluang membandingkan anatomi dan morfologi labah-labah menggunakan peralatan FESEM
Murid merekod data yang diperolehi daripada imej pembesaran FESEM
Murid merekod data yang diperolehi daripada imej pembesaran FESEM

Aktiviti Memahami Dunia Mikro Labah-Labah telah julung kalinya diadakan di FSM-Labs, Fakulti Sains dan Matematik, UPSI bersama 82 orang murid sekolah rendah daripada sekitar Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Aktiviti ini merupakan salah satu pengisian bagi program Junior Chemist Camp 2025 yang telah berlangsung pada 14 Jun 2025, ternyata memberikan pengalaman yang bermakna buat semua peserta.

Disamping pendedahan yang diberikan tentang teknologi terkini dalam bidang sains, aktiviti tersebut dilihat mampu meningkatkan kemahiran saintifik asas seperti memerhati, mengukur dan mengguna nombor, mentafsir data dan berkomunikasi dalam menyampaikan maklumat saintifik.

Selain itu, elemen inkuiri dan kesenian juga cuba diterapkan dengan penyediaan tugasan untuk mengira bilangan mata labah-labah dan melukis bentuk kepala dan mata ke dalam lembaran kerja yang diberikan.

Peserta yang pertama kali berpeluang melihat peralatan dan kehebatan FESEM yang bernilai jutaan ringgit, menyatakan keterujaan dan berharap dapat meneroka lebih banyak sampel serangga melalui aktiviti seumpama ini.

Bagi ibu bapa, mereka merasakan ini adalah peluang terbaik untuk menyampaikan ilmu dengan cara lebih dinamik dan dilihat mampu menyuntik minat murid untuk terus mendalami bidang sains.

Namun, tidak dinafikan ada cabaran dari segi kos peralatan dan keperluan latihan bagi tenaga pengajar. Justeru, kerjasama antara pihak sekolah, institusi pendidikan dan agensi kerajaan amat diperlukan untuk memastikan program seperti ini dapat diperluaskan.

Lebih penting, program ini membantu memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan murid.

Dengan pendedahan kepada peralatan berteknologi tinggi sejak awal, mereka bukan sahaja menjadi lebih celik sains tetapi juga lebih bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan dalam bidang-bidang kritikal negara seperti perubatan, sains teknologi, pembuatan dan lain-lain.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff, “Penganjuran program seperti ini adalah sangat baik. Peluang yang diberikan kepada murid melalui penggunaan peralatan FESEM dalam penerokaan dunia sains diharapkan memberi pengetahuan baharu dan pengalaman yang bermakna.

Apatah lagi, tidak semua institusi mempunyai peralatan yang berteknologi tinggi dan tenaga pengajar yang kompeten. Kebanyakannya hanya memberikan fokus kepada kemudahan penyelidikan dan pembelajaran aras tinggi.

Namun, inisiatif yang dilakukan oleh pihak FSM-Labs ini telah memberikan dimensi baru dalam pembelajaran Sains terutama buat murid sekolah yang masih kecil”.

Ketua Pengurusan Makmal FSM-Labs, Profesor Dr. Mohd Faizal Nizam Lee Abdullah menyatakan, “FSM-Labs sangat komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik. Tidak terhad kepada penyediaan analisis berkualiti bagi bahan hasil penyelidikan dalam negara dan produk yang dibangunkan oleh industri, kami juga akan terus menyumbang kepada kemajuan pendidikan sama ada di peringkat pengajian tinggi mahupun sekolah rendah”.

Pendekatan ini tidak hanya memperkayakan pengalaman murid, tetapi juga melahirkan generasi saintis muda yang celik teknologi, kritikal dalam pemikiran, dan kompeten dalam kajian saintifik.

Sudah tiba masanya untuk kita mengangkat teknologi sebagai rakan strategik dalam pendidikan Sains, demi melahirkan warga yang bukan sahaja tahu, tetapi juga mampu menyumbang kepada kemajuan ilmu dan inovasi. Dengan langkah progresif ini, pendidikan Sains di negara kita sedang menuju ke arah yang lebih inklusif dan berteknologi tinggi – sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai negara berinovasi tinggi.