Oleh: ChM. Dr. Maizatul Najwa Jajuli
14 Jun 2025, Tanjong Malim: “Wow, saya tak sangka sains boleh jadi macam ni seronok!” – itulah antara reaksi spontan seorang peserta berusia 9 tahun sewaktu menyertai Junior Chemist Camp 2025, yang berlangsung penuh keceriaan pada 14 Jun 2025.
Suasana dipenuhi gelak tawa, warna-warni eksperimen, dan mata yang bersinar teruja jelas menggambarkan keterujaan 81 peserta cilik yang menyertai program siri kedua anjuran Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik dengan kerjasama Pusat Nanoteknologi dan Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program ini direka khusus untuk menyemai minat dalam bidang kimia dan sains dalam kalangan kanak-kanak berumur antara 8 hingga 12 tahun melalui pendekatan “belajar sambil bermain” yang interaktif dan menyeronokkan. Program dimulai dengan aktiviti senamrobik untuk menceriakan suasana dan membina semangat berpasukan dalam kalangan peserta.
Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan tenaga peserta, malah membantu mereka mengenali antara satu sama lain sebelum memasuki sesi-sesi utama. Sepanjang program, fasilitator yang sangat komited dari Persatuan Mahasiswa Sains (PMS) bertindak sebagai pembimbing peserta.



Tiga aktiviti menarik dengan satu misi iaitu untuk menarik minat terhadap sains telah dijalankan. Aktiviti pertama ialah Kebaboom Fiztastic berasakan resin epoksi.
Resin epoksi ialah sejenis bahan dua komponen (resin dan pengeras) yang apabila dicampurkan, akan mengeras menjadi plastik jernih atau berwarna.
Peserta menghasilkan keychain epoksi mengikut kreativiti masing-masing. Aktiviti ini bukan sahaja mencabar kreativiti, malah memperkenalkan mereka kepada konsep pengerasan bahan dan sains di sebalik hasil seni itu.
Aktiviti kedua pula Glitter Slaymold memberi peluang pada peserta untuk membentuk bath bomb mereka sendiri sambil mempelajari tentang tindak balas yang berlaku. Bau harum dan warna menarik menambah keterujaan dalam proses pembelajaran ini.
Aktiviti terakhir, ‘Venturing the Nano World’, merupakan slot istimewa anjuran Pusat Nanoteknologi yang bertujuan memberi pendedahan awal kepada dunia nanosains melalui sebuah explorace interaktif dan menyeronokkan.
Dalam aktiviti ini, peserta bergerak dari satu stesen ke stesen lain untuk menyelesaikan pelbagai tugasan berasaskan nano dari segi saiz nano, pergerakan zarah, alam semulajadi sehingga ke aplikasi teknologi nano dengan memperkenalkan alat berteknologi tinggi yang dikenali sebagai ’Field emission scanning electron microscopy (FESEM)’. Salah seorang peserta mengungkap keterujaan kerana baharu mengetahui tentang ilmu ’nano’.
Junior Chemist Camp 2025 berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk memupuk minat terhadap pendidikan kimia seawal usia dan membuka minda para peserta bahawa mata pelajaran sains dan kimia tidak terbatas kepada buku teks, malah boleh diteroka dalam dunia sebenar – di makmal, di lapangan, dan juga di rumah. Dr. Mohamad Syahrizal Ahmad selaku Ketua Jabatan Kimia dalam ucapan penutupnya menyatakan rasa bangga dan penghargaan terhadap semua pihak terlibat: “Usaha ini sangat bermakna kerana ia membuka ruang kepada pelajar seawal sekolah rendah untuk melihat bahawa sains, khususnya kimia, boleh dipelajari bukan hanya di bilik darjah, tetapi juga secara langsung, melalui pengalaman sebenar dan menyeronokkan.”
Dengan sambutan positif dan impak yang jelas, program ini diharapkan dapat dijadikan acara tahunan, seterusnya melahirkan lebih ramai saintis muda yang berani mencuba, bijak berfikir, dan cinta kepada dunia sains sejak kecil lagi.

