Oleh: Ruziah Ahmad, Nur Munira Azman & Norhalida Derasol

Yan, Kedah “Mengujakan, mengagumkan, menggembirakan dan membuka minda” itulah antara maklum balas yang dilontarkan oleh 45 orang peserta Kem Zoologi: Eksplorasi Fauna Ekosistem Tanah Lembap yang telah berjaya dilaksanakan di Carribean Campsite, baru-baru ini.

Program berkonsepkan Citizen Science ini berlangsung selama tiga hari, bermula 29 Jun hingga 1 Julai lalu, dengan penyertaan pelajar daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menariknya, program ini turut disertai oleh ahli komuniti setempat yang hadir daripada pelbagai latar belakang, sekali gus menyemarakkan semangat kerjasama dan perkongsian ilmu merentas generasi dan bidang.

Program ini merupakan salah satu inisiatif yang berteraskan pendekatan Citizen Science, sejajar dengan aspirasi Naib Canselor UPSI dalam memperkasa pendidikan biodiversiti dan keterlibatan komuniti. Program ini diketuai oleh Dr. Nur Munira Azman, pensyarah Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI, merangkap koordinator Shorebirds Peninsular Malaysia Project (SPMP) serta felo Center of Biodiversity and Conservation (CeBEC). Objektif utama kem adalah memberi pendedahan kepada peserta tentang kajian dan pemerhatian burung pantai berhijrah, primat, kelawar dan herpetofauna (nocturnal animal) di habitat tanah lembap.

Antara aktiviti utama ialah sesi birdwatching menggunakan binokular dan teleskop, cerapan malam herpetofauna, serta perkongsian ilmu mengenai primat, kelawar dan spesies lain melalui rakaman bunyi dan demonstrasi pakar. Peserta turut mempraktikkan teknik cerapan saintifik seperti line transect, point count observation dan mist netting. Aktiviti berkonsepkan experiential learning ini menekankan aspek pemerhatian dan kesedaran biodiversiti, sekaligus memperkayakan sudut pandang saintifik peserta.

Rata-rata peserta meluahkan rasa seronok dan teruja kerana berpeluang menyertai aktiviti lapangan yang menyeluruh, antaranya pemerhatian burung (birdwatching) dan eksplorasi herpetofauna pada waktu malam. Bagi kebanyakan mereka, ini merupakan pengalaman pertama berkhemah sambil mempelajari dan mengaplikasikan teknik cerapan saintifik secara langsung di habitat semula jadi.

Selain menambah ilmu dan kemahiran, program ini turut membuka ruang kepada pembentukan jaringan baharu antara peserta dari pelbagai institusi dalam suasana yang santai, inklusif dan kolaboratif.

Menurut Dr. Nur Munira, ini adalah program kali kedua yang telah diadakan setelah mendapat sambutan yang amat baik daripada masyarakat pada kem pertama iaitu pada tahun Ogos 2023. Fokus kali ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar universiti dan orang awam untuk mempelajari kepelbagaian fauna dan merasai pengalaman praktikal pemerhatian dan penangkapan haiwan melalui bimbingan para penyelidik yang berpengalaman. Peserta amat bertuah kerana mempunyai peluang yang jarang boleh didapati dalam bilik kuliah atau dalam kelas. Malah selepas kem ini, mereka sudah boleh mencerap burung dan memasukkan data mereka ke dalam aplikasi yang dipelajari iaitu e-bird.

Ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada semua ahli jawatankuasa serta panel jemputan yang telah memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program berasaskan alam sekitar yang berlangsung baru-baru ini.

Antara individu yang telah memberikan sumbangan besar ialah Mohd Abdul Muin Md Akil; Dr. Nurul ‘Ain Elias (USM); Dr. Aini Hasanah Abd Mutalib (UMT); Mohd Nasir Azizan, Sekolah Perhutanan dan Pemeliharaan Margasatwa (SPMP); Dr. Noraine Salleh Hudin; Dr. Wan Nurul Huda (UPSI); Ahmad Khusaini Mohd Kharip Shah; Ismail Mamat; Mohamad Aminurddin dari Jabatan PERHILITAN; Abdul Afiq Abdul Rahman; Shaiful Azhar Abu Bakar (NEST), Ruziah Ahmad dan Norhalida Derasol dari Perpustakaan Tuanku Bainun, UPSI.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Think City Sdn. Bhd. selaku penaja utama atas sokongan padu dalam usaha memartabatkan pendidikan berasaskan alam sekitar dan penglibatan komuniti menerusi pendekatan Citizen Science yang semakin relevan dalam era kelestarian masa kini.

Kepakaran, pengalaman dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak bukan sahaja memperkayakan pengisian program, malah turut memberikan impak yang besar terhadap kesedaran awam mengenai pemeliharaan alam sekitar.

Secara keseluruhan, program ini berjaya menawarkan pengalaman pembelajaran yang bermakna melalui aktiviti cerapan, konservasi burung dan perkongsian ilmu daripada pelbagai pakar. UPSI komited menyokong usaha pemuliharaan biodiversiti dan pendidikan komuniti melalui pendekatan Citizen Science yang diyakini mampu memperkasa kesedaran serta penghayatan terhadap kelestarian alam sekitar dalam kalangan pelajar dan masyarakat umum.