Oleh: Prof. Madya Dr. Shazlyn Milleana Shaharudin dan Nur Syafiqah Bakhtin
Tambun, Perak, 11 Julai 2025 – Mahasiswa Matematik, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) telah berjaya melaksanakan Program STEM-Math Educator bagi Pelajar Tahfizdi Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Tambun.
Program ini merupakan satu inisiatif yang menyasarkan pelajar tahfiz sebagai kumpulan sasaran dalam usaha memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya Matematik.
Program ini juga melibatkan 13 sekolah terpilih di negeri Perak sebagai mendukung objektif Minggu Sains Negara untuk membudayakan sains serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di dalam kehidupan seharian.



Program ini dilaksanakan melalui pendekatan interaktif dan aktiviti berasaskan permainan matematik, simulasi sains asas serta penerokaan konsep STEM dalam kehidupan seharian.
Pelbagai aktiviti menarik dijalankan termasuklah pameran kit matematik bagi topik Pelan dan Dongakan, Transformasi Isometri dan Sudut dan Tangen bagi Bulatan.
Menurut pihak penganjur program, pendekatan ini mampu membina jati diri pelajar tahfiz secara seimbang dari aspek ilmu agama dan duniawi.
Penguasaan asas Matematik dan Sains dipercayai bukan sahaja membantu dalam pembelajaran, malah turut memperkukuh potensi pelajar dalam menghadapi cabaran kerjaya masa depan.
Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah turut memuji pendekatan inovatif ini dan berharap program seumpama ini dapat diteruskan di sekolah-sekolah tahfiz lain di seluruh negara.


Beliau menegaskan bahawa gabungan antara pendidikan akademik dan nilai keagamaan mampu melahirkan generasi Ulul Albab yang holistik dan kompetitif.
Program ini turut mendapat maklum balas positif daripada pihak sekolah, guru dan pelajar, serta membuka ruang kerjasama yang lebih luas antara UPSI dan institusi pendidikan tahfiz dalam usaha memperkasa pendidikan bersepadu.
Secara keseluruhannya, Program STEM-Math Educator bagi Pelajar Tahfiz telah memberi pendedahan awal kepada pelajar tahfiz terhadap aplikasi STEM yang relevan, sekaligus memupuk minat mereka terhadap Matematik dan Sains dalam suasana yang menyeronokkan dan bermakna.
