Oleh: Intan Farahana Abdul Rani
Parlimen, 24 Julai 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh pembangunan pendidikan awal negara melalui jalinan strategik dengan pelbagai kementerian dan agensi.
Terkini, satu sesi kunjungan hormat dan perbincangan rasmi telah diadakan bersama YB Chang Lih Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bagi meneroka ruang kerjasama dalam bidang teknologi dan inovasi pendidikan awal kanak-kanak.
Delegasi NCDRC telah diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC, bersama barisan pengurusan dan pegawai system data yang berpengalaman dalam pengurusan pangkalan data kanak-kanak.
Sesi pertemuan ini berlangsung dalam suasana mesra dan penuh semangat kolaboratif, mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk bersama-sama memacu inovasi dalam pendidikan awal negara.


Dalam sesi tersebut, Prof. Madya Dr. Mazlina telah membentangkan latar belakang penubuhan NCDRC, termasuk memperkenalkan inisiatif strategik seperti pembangunan sistem National Child Data Centre (NCDC) yang mengumpul data menyeluruh kanak-kanak Malaysia bagi tujuan pemantauan perkembangan, intervensi awal dan dasar pendidikan negara.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk potensi kerjasama dalam aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama MOSTI, terutamanya dalam cadangan untuk membangunkan bilik darjah digital interaktif dan konvensyen inovasi ‘Little Inovators’.
Prof. Madya Dr. Mazlina turut menyatakan bahawa penyelidikan yang dijalankan oleh NCDRC bukan sahaja bersifat akademik, tetapi memberi tumpuan kepada kebolehgunaan dan impak langsung kepada masyarakat.
“Kami ingin memastikan bahawa setiap produk dan program yang dihasilkan dapat melalui proses validasi saintifik dan dalam masa yang sama menepati keperluan industri serta masyarakat. Justeru itu, pengiktirafan dan kerjasama dari MOSTI amat kami hargai,” ujar beliau.
YB Chang Lih Kang pula menzahirkan rasa kagum dengan usaha dan pencapaian yang telah diraih oleh NCDRC, khususnya dalam membina ekosistem pendidikan awal yang berteraskan penyelidikan dan data.
Beliau menyatakan bahawa pendekatan holistik yang dibawa oleh NCDRC selari dengan aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat berasaskan pengetahuan (knowledge-based society) dan memperkukuh budaya inovasi dari peringkat akar umbi.

Beliau turut memaklumkan bahawa MOSTI amat menggalakkan penglibatan institusi penyelidikan seperti NCDRC untuk menyertai pelbagai inisiatif kementerian seperti Geran MOSTI iaitu Start-up dan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang memberi tumpuan kepada penyelesaian berasaskan sains dan teknologi untuk masalah sosial, termasuk pendidikan dan pembangunan kanak-kanak.
Pertemuan strategik ini turut membuka lembaran baharu bagi UPSI dan NCDRC untuk mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak yang berpaksikan inovasi.
Ia turut menyokong matlamat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), terutamanya SDG 4: Pendidikan Berkualiti dan SDG 9: Inovasi dan Infrastruktur.
Prof. Madya Dr. Mazlina turut menyatakan harapan agar hasil perbincangan ini dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan kolaborasi yang konkrit.
Kami amat yakin bahawa sinergi antara kepakaran pendidikan dan sains teknologi ini akan mewujudkan penyelesaian inovatif yang dapat membentuk masa depan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih cemerlang dan inklusif,” katanya mengakhiri sesi kunjungan.