Oleh: Jamilah Mohd Basir

Tanjong Malim– Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-Kanak Negara (NCDRC) Universiti Pendidikan Sultan Idris telah menerima kunjungan hormat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam satu sesi mesyuarat dan lawatan rasmi pada 12 Ogos 2025.

Hadir sama, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, Pengarah NCDRC, Dr. Nadia Shahira Amiruddin (Timbalan Pengarah Akademik dan Perkembangan Kanak-Kanak), Dr. Intan Farahana Abdul Rani (Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi), dan Dr. Jamilah Mohd Basir (Penyelaras Penerbitan dan  Jaringan Indusrti & Komuniti) juga disertai oleh seramai 10 orang delegasi MAIWP.

Lawatan dan mesyuarat ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara NCDRC dan MAIWP, khususnya dalam pembangunan pendidikan awal kanak-kanak, penghasilan modul pengajaran dan pembelajaran, serta menjajaki potensi kerjasama pada masa hadapan. Perbincangan turut menyentuh peluang kolaborasi dalam penyelidikan, perkongsian kepakaran, dan pembangunan modul pendidikan berteraskan nilai Islam. Delegasi MAIWP kemudiannya dibawa meninjau kemudahan di NCDRC, termasuk TASKA dan TADIKA, bagi melihat secara dekat pendekatan pendidikan yang dilaksanakan di pusat tersebut.

“Lawatan ini menjadi platform penting untuk mempelajari amalan terbaik dalam pengurusan dan pelaksanaan pendidikan awal kanak-kanak, yang berpotensi diaplikasikan di institusi-institusi pendidikan di bawah seliaan kami,” kata Nor Azlin, wakil MAIWP.

“Memandangkan NCDRC mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak (PAKK), kami berhasrat menjadikan pakar-pakar PAKK di sini sebagai rujukan utama dalam pembangunan modul pendidikan MAIWP,” tambahnya.

Pihak NCDRC merakamkan penghargaan atas kunjungan tersebut dan berharap hubungan yang terjalin dapat diteruskan melalui pelaksanaan program bersama, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan kanak-kanak dan komuniti secara keseluruhan.