Phatthalung, Thailand, 20 Ogos 2025 – Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memeterai Letter of Intent (LOI) bersama Fakulti Teknologi dan Pembangunan Komuniti, Universiti Thaksin (Kampus Phatthalung), Thailand, dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Kampus Phatthalung dengan kehadiran delegasi daripada kedua-dua institusi.

Delegasi FTV diwakili oleh Timbalan Dekan (Jaringan Industri dan Pengkomersialan), Dr. Faizah Abu Kassim, manakala Universiti Thaksin (TSU) diwakili oleh Dekan, Fakulti Teknologi dan Pembangunan Komuniti, Prof. Madya. Dr. Uraiwan Tongkaemkaew. Dalam perbincangan awal, kedua-dua pihak bersepakat untuk melaksanakan pelan kerjasama melalui pemantapan kurikulum akademik dalam bidang pendidikan oleh FTV kepada TSU. Sebagai timbal balas, pihak TSU akan berkongsi kepakaran dalam memperkukuh pendekatan bersama komuniti, termasuk penerapan teknologi pertanian bagi meningkatkan pemahaman dan penerimaan masyarakat dalam bidang pertanian.

Kerjasama strategik lain turut merangkumi program pertukaran pelajar, perkongsian kepakaran akademik, penyelidikan bersama, pembangunan struktur program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), mobiliti staf, penerbitan bersama serta inovasi. Fokus jangka panjang adalah memperkukuh nilai tambah bersama, khususnya dalam memantapkan hubungan dengan komuniti dan memperkukuh pendidikan dalam bidang pengembangan pertanian. Pihak TSU turut berkongsi kejayaan projek pertanian berasaskan komuniti yang telah dilaksanakan, yang memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya golongan berpendapatan rendah. Perkongsian tersebut mengukuhkan lagi keperluan kerjasama dengan FTV bagi memperluas capaian FTV kepada masyarakat umum, seiring dengan fokus tujuan program pengembangan pertanian.

Persefahaman ini merupakan kesinambungan daripada acara “The International Symposium on Sustainable Agriculture 2025”, yang dianjurkan secara co-host oleh TSU bersama beberapa universiti awam dari Malaysia (termasuk UPSI, UPM dan UCAM), serta universiti dari Indonesia, sehari sebelum majlis tandatangan berlangsung. Simposium tersebut menjadi medan penting bagi pertukaran ilmu, idea dan pengalaman, selain memperlihatkan nilai budaya yang tinggi melalui program sosial yang dianjurkan. Hospitaliti mesra pihak TSU turut menambah nilai kepada potensi pertukaran budaya yang sesuai dilaksanakan selari dengan kerjasama akademik, sekali gus menyerlahkan keunikan kolaborasi ini.

Universiti Thaksin (Kampus Phatthalung) terletak di Daerah Pa Payom, Wilayah Phatthalung, Thailand Selatan di atas kawasan seluas kira-kira 2,000 ekar. Kampus ini menempatkan sejumlah 12 fakulti termasuk Fakulti Teknologi dan Pembangunan Komuniti, Fakulti Agro dan Bio-Industri, Fakulti Sains dan Teknologi Komuniti, serta Fakulti Kesihatan dan Sukan. Universiti ini memiliki kekuatan dalam bidang teknologi pertanian, pembangunan komuniti, dan sains persekitaran, berada dalam kelompok 30 universiti terbaik di Thailand (EduRank 2025), serta tersenarai dalam THE Impact Rankings 2024. Persekitaran kampus yang kondusif menjadikannya pusat penting bagi pendidikan, penyelidikan, dan inovasi berasaskan komuniti.

Kerjasama ini diharapkan memberi manfaat besar kepada kedua-dua institusi melalui perkongsian sumber dan kepakaran, memperkukuh reputasi antarabangsa, meningkatkan akses kepada teknologi terkini, serta memacu pembangunan pertanian yang inovatif dan mampan di rantau ini. Sinergi yang dibentuk juga akan menyumbang secara langsung kepada pengembangan pertanian melalui pembudayaan teknologi, pendidikan komuniti, dan inovasi lestari yang berupaya memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat setempat serta pembangunan ekonomi berasaskan pertanian.