Oleh: Rozak Hadi, Abdul Muiz & Izzati Yahya

Pasir Gudang, 27 Ogos 2025- Penghayatan terhadap erti kemerdekaan bukan sekadar mengingati perjuangan silam, tetapi juga melibatkan usaha untuk mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk. Semangat perpaduan merentas kaum menjadi asas penting bagi membina suasana pembelajaran yang aman dan kondusif.

Sesi pemotongan kek sempena Majils Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Sambutan Ulang Tahun SKOMAS ke-22

Dalam menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar, SMK Kota Masai (SKOMAS) menganjurkan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan pada 27 Ogos dalam dua sesi sekaligus merayakan ulang tahun SKOMAS yang ke-22 pada tahun 2025.

SKOMAS telah mula beroperasi secara rasmi pada 1 Ogos 2003 bertempat di Taman Kota Masai, Pasir Gudang, Johor dan sehingga kini telah mencapai usia 22 tahun penubuhannya. Seiring dengan ledakan dunia pendidikan Negara, SKOMAS telah diterajui oleh 10 orang pengetua dan yang terkini dipimpin oleh Subramaniyan a/l Dorasamy.

Persembahan lakonan pelajar bertemakan semangat kebangsaan

Banyak program yang berlangsung sepanjang bulan kemerdekaan anjuran panitia dan Unit Kokurikulum SKOMAS antaranya pertandingan video pendek, pertandingan nyanyian merdeka, penulisan khat kemerdekaan, koir dan banyak lagi pertandingan bertemakan semangat kemerdekaan dan perpaduan negara.

Subramaniyan berkata, semangat kebersamaan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum juga menggalakkan pertukaran idea dan pengalaman yang memperkayakan proses pembelajaran. Ia menjadikan pelajar lebih kreatif, kritis dan berkeyakinan tinggi dalam menyuarakan pandangan.

“Nilai-nilai perpaduan yang diterapkan sejak bangku sekolah akan terus membentuk jati diri pelajar sebagai warganegara yang bertanggungjawab. Mereka akan membesar dengan kesedaran bahawa kemajuan hanya dapat dicapai jika semua kaum bersatu hati,” katanya.

Sebilangan guru memperagakan pakaian tradisional bertemakan negeri kelahiran masing-masing
Sebilangan guru memperagakan pakaian tradisional bertemakan negeri kelahiran masing-masing

Perpaduan kaum di sekolah membantu pelajar menghayati nilai hormat, toleransi dan kerjasama. Apabila wujud persefahaman antara kaum, segala aktiviti akademik dan kokurikulum dapat dijalankan dengan lebih lancar serta berkesan.

Masyarakat yang hidup dalam suasana perpaduan juga lebih terbuka untuk bekerjasama dan menerima perbezaan. Keadaan ini secara tidak langsung memupuk sikap saling menyokong dalam usaha mencapai kecemerlangan bersama.