Oleh: Dr. Jamilah Mohd Basir
Tanjong Malim, 29 Ogos 2025 – Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 peringkat TASKA dan TADIKA UPSI dengan penuh warna-warni dan meriah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Megat Zarul Ekram Rusni, Pengurus Pendidikan Yayasan Perak. Turut hadir, ialah Prof. Dr. Suriani Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman, Pengarah Jabatan Strategik UPSI, Prof. Dr. Azmi Mohamed, serta Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa.
Prof. Dr. Suriani Abu Bakar berkata usaha menanam semangat patriotik sejak usia awal adalah penting agar kanak-kanak membesar dengan jati diri, nilai perpaduan dan kecintaan terhadap tanah air.
Sementara itu, Megat Zarul berkata, semangat kemerdekaan yang ditanam sejak di TASKA dan TADIKA ini akan terus berkobar dalam jiwa anak-anak, menjadikan mereka warganegara yang berani, berdisiplin dan berjiwa Malaysia.


Acara dimulakan dengan perarakan Merdeka oleh kanak-kanak TASKA dan TADIKA UPSI yang tampil dengan pakaian bertemakan kebudayaan, diikuti dengan persembahan kanak-kanak termasuk deklamasi sajak, nyanyian lagu-lagu patriotik, dan pantun merdeka. Suasana majlis semakin ceria dengan sorakan dan semangat patriotik yang dizahirkan oleh para peserta cilik.
Sambutan ini turut mengintegrasikan elemen Education for Sustainable Development (ESD) khususnya dalam aspek kebudayaan, apabila kanak-kanak diperkenalkan dengan kepelbagaian pakaian tradisional, lagu-lagu warisan, serta pantun sebagai medium pembelajaran. Pendekatan ini bukan sahaja memupuk semangat patriotik, tetapi juga memberi kefahaman tentang pentingnya memelihara identiti budaya dan menghargai warisan bangsa sebagai sebahagian daripada pendidikan awal kanak-kanak.

Penyampaian hadiah turut diadakan bagi pelbagai pertandingan sempena kemerdekaan, antaranya Pertandingan Lensa Keluarga Merdeka, Melukis dan Mewarna, Kolaj Merdeka, Pakaian Tercantik, serta Persembahan Kanak-kanak. Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti, tetapi juga menjadi platform untuk menyemai rasa bangga terhadap identiti kebangsaan dalam kalangan generasi muda.
Pihak NCDRC merakamkan penghargaan kepada seluruh warga UPSI yang terlibat atas sokongan dalam menjayakan program ini. Diharapkan sambutan ini dapat menjadi wadah untuk memperkukuh nilai kebersamaan dan semangat Malaysia Madani dalam kalangan kanak-kanak serta komuniti sekitarnya.
