Oleh: Nur Fatin Najwa binti Muhamad Nur Efendi

Tanjong Malim, 13 September 2025- Persatuan Bimbingan dan Kaunseling (KASIH) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia (PERKAMA International) dan Young Counseling Scholars (YCS) telah menganjurkan forum Bicara KASIH Merdeka: Kaunseling Sebagai Pemangkin Kesejahteraan Malaysia MADANI secara dalam talian melalui platform Google Meet bermula jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi. Program ini berjaya menarik hampir 400 penyertaan melibatkan pelajar, guru, pegawai dan kaunselor dari pelbagai institusi di Malaysia serta peserta dari Indonesia.

Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan kaunseling dalam membina kesejahteraan mental, emosi dan sosial rakyat. Dalam konteks Malaysia MADANI, kesejahteraan jiwa serta perpaduan rakyat perlu digerakkan melalui pendekatan holistik dan berperikemanusiaan, menjadikan profesion kaunseling sebagai pemangkin utama dalam usaha tersebut.

Penasihat KASIH merangkap Pensyarah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee, dalam ucapannya menegaskan bahawa kemerdekaan bukan hanya bermakna kebebasan politik pada tahun 1957, tetapi juga kebebasan jiwa, minda dan emosi. “Jika pejuang dahulu menentang penjajahan asing, hari ini kita berdepan penjajahan dalaman seperti tekanan, stigma, buli, salah faham dan isu kesihatan mental,” katanya. Beliau turut menegaskan peranan kaunselor sebagai “pembela senyap” yang hadir dengan empati serta kesediaan membimbing pelajar keluar daripada trauma, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Sementara itu, Dr. Mapatan Sudin, Guru Cemerlang Bimbingan dan Kaunseling, dalam perkongsiannya menjelaskan bahawa konsep Rakyat Disantuni dalam skop kaunseling bermakna memanusiakan manusia melalui kesejahteraan jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Beliau menekankan bahawa kaunselor perlu memahami peranan ini bagi membentuk jati diri individu yang lebih kukuh.

Turut berkongsi pandangan, Leftenan Kolonel Siti Normiah Marzuki, Ketua Sektor Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Angkatan Tentera Malaysia merangkap Eksekutif PERKAMA International, yang menekankan bahawa semangat perpaduan lahir apabila wujud penghormatan tanpa diskriminasi. Katanya, kaunselor perlu berfungsi secara aktif dalam komuniti untuk memberi sokongan psikososial yang menyeluruh.

Forum ini turut disertai oleh Shivendren A/L Selvakumar, Yang Dipertua KASIH UPSI Sidang 2024/2025, yang bersama-sama menjayakan sesi perkongsian. Keseluruhan slot diisi dengan diskusi panel yang memberi pencerahan tentang cabaran, keperluan dan masa depan profesion kaunseling dalam mendukung kerangka Malaysia MADANI.

Penganjuran forum ini mencerminkan komitmen KASIH untuk terus melaksanakan program berbentuk akademik dan ilmiah, sebagai usaha memperkukuh kefahaman tentang profesion kaunseling serta menyediakan platform persediaan bagi bakal kaunselor. Peranan kaunseling diyakini kritikal dalam membina individu yang seimbang dari segi emosi, spiritual dan mental, sekali gus menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.