Oleh: Azizul Qayum Basri
Tanjong Malim, 1 Oktober 2025 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) sekali lagi membuktikan komitmen dalam memperkukuh jaringan antarabangsa apabila melaksanakan Program Mobiliti Tanpa Kredit (Outbound) secara hibrid bersama Hunan Automotive Engineering Vocational University (HAEVU), China.
Program ini akan berlangsung pada 20 hingga 29 September 2025 di School of Automotive, Hunan Automotive Engineering Vocational University (HAEVU), China, sempena Semester 2 Sesi Akademik 2024/2025 (A242).
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPSI untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki pengalaman global, keterampilan insaniah, serta kemampuan menyesuaikan diri dalam persekitaran antarabangsa.
Ketibaan delegasi UPSI di Lapangan Terbang Antarabangsa Changsha, Hunan, disambut mesra oleh wakil pengurusan HAEVU dan sekumpulan pelajar antarabangsa. Sepanjang perjalanan menuju kampus, para peserta disajikan dengan pemandangan indah bandar Hunan yang kaya dengan sejarah dan kemajuan teknologi.
Majlis pembukaan berlangsung meriah di dewan utama HAEVU. Turut hadir ialah Naib Presiden HAEVU, Profesor Jinzong Zhou, serta pensyarah pengiring, Ir. Dr. Azizul Qayum Basri bersama dua kakitangan Fakulti Teknikal dan Vokasional iaitu Salehuddin Dalmi dan Helmi Mukhsin. Dalam ucapan alu-aluan, Profesor Zhang menekankan kepentingan hubungan akademik rentas negara dalam membina masa depan Pendidikan Teknikal dan Vokasional.

“Kerjasama seperti ini membuka peluang besar kepada pelajar kedua-dua universiti untuk memahami perkembangan teknologi automotif global, selain mengukuhkan kefahaman silang budaya,” ujar beliau.
Sementara itu, Ir. Dr. Azizul Qayum Basri dalam ucapannya menyatakan “bahawa penyertaan pelajar UPSI dalam program ini adalah bukti komitmen universiti dalam merealisasikan Pelan Strategik UPSI ke arah kecemerlangan akademik bertaraf antarabangsa.”
Hari-hari berikutnya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti akademik yang terancang. Para pelajar menghadiri kuliah umum bertajuk “Future of Automotive Engineering in the Era of Green Technology” yang disampaikan oleh Mr. Peng Jin, Mr. Li Rong , Mr. Chen Yanyun and Mrs Yin Yifei juga pakar automotif HAEVU serta dibantu oleh kakitangan lain. Kuliah ini memberi pendedahan mendalam mengenai perkembangan kenderaan elektrik dan hibrid, termasuk cabaran teknologi bateri serta peranan industri dalam mengurangkan pencemaran karbon.
Selain kuliah, bengkel teknikal turut dianjurkan. Pelajar UPSI diberi peluang untuk menjalankan praktikum bersama rakan pelajar HAEVU di bengkel automotif universiti. Mereka terlibat dalam simulasi penyelenggaraan enjin, pemeriksaan sistem transmisi, dan analisis perisian diagnostik kenderaan moden. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran teknikal, tetapi juga mengasah kemahiran komunikasi kerana peserta perlu berinteraksi dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.



Di samping itu, satu sesi diskusi meja bulat diadakan yang mempertemukan pensyarah UPSI dan pihak HAEVU. Topik utama dibincangkan potensi kolaborasi penyelidikan bersama, khususnya dalam bidang Pendidikan Vokasional, Teknologi Automotif Hijau, serta integrasi teknologi digital dalam kurikulum.

Bagi memastikan program ini seimbang antara aspek akademik dan kebudayaan, kami turut dijadualkan menyertai beberapa lawatan sambil belajar. kami dibawa ke sebuah kilang pengeluaran kenderaan di Changsha yang merupakan antara pusat utama industri automotif di China. Di sini, kami berpeluang melihat sendiri proses pemasangan kenderaan dari peringkat awal hingga akhir menggunakan teknologi automasi moden bagi operasi kenderaan elektrik.

Lawatan kilang pembuatan Super Factory BAIC Motor.
Lawatan budaya pula kami berpeluang ke Máozédōng qīngnián yìshù diāosù berada di Pulau Oranye (Júzi zhōu) Changsha, Hunan salah satu warisan Presiden Mao di Hunan. Simboliknya ia melambangkan kekuatan semangat tinggi maysarakat untuk bangkit. Selain itu juga kami meluangkan masa mempelajari tentang falsafah pendidikan klasik China serta nilai budaya yang masih diamalkan masyarakat tempatan.

Seorang peserta, Muhammad Norhysyam bin Umar, pelajar tahun dua dalam bidang Pendidikan Vokasional Reka Bentuk & Teknologi, berkongsi pengalaman berharga yang diperolehnya:
“Pengalaman berada di HAEVU membuka mata saya terhadap kepelbagaian pendekatan pembelajaran vokasional di peringkat global. Saya belajar bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga nilai kerjasama antarabangsa. Saya percaya pengalaman ini akan membantu saya menjadi pendidik yang lebih bersedia.”
Bagi Mohamad Shahrul Mohd Hothzani, pelajar tahun 3 bidang Pendidikan Vokasional Reka Bentuk & Teknologi, program ini memberi inspirasi besar dalam bidang kerjaya.
“Saya teruja melihat bagaimana industri automotif di China begitu maju dengan penggunaan teknologi hijau. Ia memberi semangat kepada saya untuk mendalami bidang ini dan suatu hari nanti menyumbang kepada pembangunan industri automotif di Malaysia,” ujarnya.
Pensyarah pengiring, Ir. Dr. Azizul Qayyum Basri pula menyifatkan program ini sebagai salah satu contoh terbaik pendekatan pembelajaran sepanjang hayat:
“Program ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pelajar, tetapi juga kepada pensyarah dan kakitangan universiti. Perbincangan bersama rakan sejawat di HAEVU memberi idea baharu bagaimana pendidikan vokasional boleh diperkasa dengan lebih inovatif.”

Program Mobiliti Tanpa Kredit (Outbound) UPSI–HAEVU berjaya mencapai objektifnya untuk memperkukuh hubungan antarabangsa, memantapkan pengalaman akademik pelajar, dan memperluas pendedahan rentas budaya. Selama sembilan hari berada di Hunan, pelajar UPSI bukan sahaja menimba ilmu dalam bidang teknikal, tetapi juga belajar memahami budaya, nilai, dan aspirasi masyarakat antarabangsa.
Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI percaya bahawa hasil daripada program ini akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi strategik pada masa hadapan. UPSI juga berhasrat untuk memperluas rangkaian mobiliti antarabangsa agar lebih ramai pelajar dapat merasai pengalaman sama, seiring dengan visi universiti untuk menjadi peneraju kecemerlangan pendidikan pada peringkat global.
Dengan itu, program mobiliti ini bukan sekadar lawatan akademik, tetapi satu perjalanan berharga yang menyemai ilmu, pengalaman, dan persahabatan merentasi sempadan. Jutaan terima kasih kepada pihak Pengurusan Fakulti Teknikal dan Vokasional , Universiti Pendidikan Sultan Idris serta warganya dan Cooperation & Exchange Center Department, HAEVU kerana mendorong penuh program ini.
