Oleh: Anis Suraya Muhammad

Tanjong Malim, 18 Oktober 2025 – Persatuan Geografi (PERGEO), Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya menganjurkan Annual Grand Meeting (AGM) Persatuan Geografi bagi sidang 2024/2025 bertempat di Blok C, Bangunan Institut Pengajian Siswazah. Program tahunan ini bertujuan untuk membentangkan laporan aktiviti serta kewangan sepanjang sesi kepimpinan 2024/2025, di samping melaksanakan pembubaran dan pelantikan rasmi barisan kepimpinan baharu bagi sidang 2025/2026.

Majlis telah disempurnakan oleh Dr. Abu Zarrin Selamat, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, FSK yang hadir sebagai tetamu kehormat dan perasmi program. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Dr. Sumayyah Aimi Mohd Najib, Penasihat PERGEO.

Dalam ucapan perasmian, Dr. Abu Zarrin menekankan kepentingan peranan persatuan mahasiswa sebagai wadah pembangunan kepimpinan dan kebertanggungjawaban dalam kalangan pelajar. Beliau turut memuji Persatuan Geografi yang terus konsisten menganjurkan pelbagai program ilmiah dan berimpak tinggi selaras dengan objektif universiti melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berintegriti.

Sementara itu, Dr. Sumayyah Aimi dalam ucapan alu-aluannya menzahirkan penghargaan kepada semua barisan kepimpinan sidang 2024/2025 atas komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan aktiviti persatuan sepanjang tahun. Beliau turut menyeru kepimpinan baharu agar terus memperkukuh semangat setiakawan dan kesinambungan kecemerlangan yang telah dibina.

Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan montaj Ilektra, simbolik kepada perjalanan kepimpinan sepanjang sesi 2024/2025. Seterusnya, penyampaian sijil penghargaan dan anugerah khas diberikan kepada barisan Majlis Tertinggi, Exco, Rakan Exco serta wakil batch Persatuan Geografi yang telah banyak menabur bakti dalam menjayakan pelbagai program. Antara anugerah khas yang disampaikan termasuk Anugerah Exco Terbaik dan Anugerah Rakan Exco Terbaik sebagai pengiktirafan kepada ahli yang menunjukkan komitmen luar biasa.

Kemuncak majlis adalah pengumuman pembubaran rasmi barisan kepimpinan sidang 2024/2025 oleh Yang Di-Pertua, Muhammad Syafiq Razali, diikuti pelantikan dan penyerahan watikah kepimpinan baharu sidang 2025/2026 oleh Dr. Sumayyah.

Program AGM pada tahun ini membawa tema “Sinergi Kepimpinan: Penganugerahan Ilektra” yang melambangkan penyatuan, semangat kolaborasi dan kesinambungan tradisi kepimpinan dalam kalangan mahasiswa Geografi. Melalui majlis ini, kepimpinan baharu diharapkan dapat meneruskan legasi kecemerlangan dengan semangat inovatif dan nilai tanggungjawab tinggi terhadap pembangunan sahsiah dan akademik.