Kuantan, 18 Oktober 2025 – Program Eratkan Layanan Ikhlas, Teguhkan Ikatan & Tautan Asa atau nama ringkasnya PELITA, di bawah anjuran Exco PALAPES, Majlis Mahasiswa Kolej Aminuddin Baki, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya memupuk semangat kesukarelawanan, empati dan nilai kemanusiaan dalam kalangan penghuni PALAPES dan penghuni awam dari Kolej Aminuddin Baki melalui penglibatan aktif bersama dengan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Nur Iman, Tanjung Lumpur, Kuantan.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 17 hingga 18 Oktober 2025 dengan mengetengahkan pelbagai aktiviti interaktif dan pendidikan yang berteraskan nilai kasih sayang, kepimpinan serta pembinaan karakter.

Bagi mewujudkan rasa santai dan mesra antara mahasiswa KAB serta peserta program, sesi ice breaking dan sukaneka yang menceriakan suasana petang pada hari pertama telah dianjurkan.

Hari kedua diteruskan dengan slot STEM BLUSTER iaitu DIY mencantumkan kereta solar mini dan memastikan kereta itu bergerak dengan sendiri dengan bantuan cahaya matahari, serta aktiviti reflektif “Siapa Anda 10 Tahun Akan Datang” yang memberi ruang kepada peserta dan mahasiswa KAB merenung potensi diri dan masa depan.

Kemuncak program PELITA turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Haji Ahmad Irshadi Bin Abdullah Al-Qari, Ahli Dewan Negeri Pahang, sebagai perasmi program ini.

Turut memeriahkan program ini adalah Encik Zulkifli Bin Mamat, Pengetua Kolej Aminuddin Baki UPSI, En. Ridzwan Othman, Ketua Eksekutif Jenama dari QSR Brands merangkap penaja rasmi PELITA serta rakan strategik iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah UniPSAS, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kolej Yayasan Pahang, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia cawangan Pahang atau PERKIM dan Kelab YES Sukarelawan, Politeknik sultan Ahmad Shah.

Bagi Muhammad Adam bin Azien iaitu Pengarah Program yang juga memegang portfolio Exco PALAPES dalam MMK KAB bahawa ‘program ini bukan sahaja membawa sinar kegembiraan kepada peserta program tetapi juga sebagai lanskap pembentukan skil pemimpinan, pengetahuan serta kemahiran berkomunikasi’’ tegas beliau lagi.

Menurut Encik Zulkifli Bin Mamat pula, program PELITA bukan sekadar wadah kebajikan, malah platform membina jati diri dan nilai kepimpinan mahasiswa sebagai generasi pendidik masa hadapan.

“Melalui aktiviti seperti ini, mahasiswa UPSI belajar erti memberi dan berkongsi. Mereka bukan sahaja menyalurkan tenaga dan idea, tetapi turut membawa sinar harapan kepada anak-anak yatim — inilah erti sebenar pendidikan berjiwa insan,” jelas beliau.

Sementara itu, YB Dato’ Haji Ahmad Irshadi Bin Abdullah Al-Qari menzahirkan penghargaan kepada UPSI atas komitmen melahirkan mahasiswa yang bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga berjiwa penyayang dan berorientasikan khidmat masyarakat.

“Mahasiswa hari ini ialah pemimpin masa hadapan. Program seperti PELITA menjadi bukti bahawa generasi muda UPSI memiliki semangat kesukarelawanan yang tinggi dan mampu menjadi ejen perubahan sosial,” ujar beliau.

Selain mendidik mahasiswa tentang kepimpinan dan empati, program dua hari ini turut memperkukuh hubungan strategik antara universiti, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.

“Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain. Melalui PELITA, UPSI membuktikan bahawa nilai ini terus disemai dalam setiap insan pendidik yang dilahirkan,” tambah Encik Zulkifli.

Program PELITA menutup tirainya dengan penuh makna — bukan sekadar meninggalkan kenangan indah kepada peserta anak-anak yatim Nur Iman, tetapi turut diserikan apabila En. Ridzwan bin Othman, Ketua Eksekutif Jenama QSR Brands Berhad turut menaja makan tengahari untuk peserta program, Ahli Jawatankuasa serta jemputan VVIP yang turut hadir bersama. QSR Brands (M) Holding, iaitu syarikat yang mengendalikan restoren KFC dan Pizza Hut dan juga merupakan penaja utama program ini.  

Dari kiri – Muhammad Adam b. Azien – Pengarah Program PELITA, En. Yusof b. Kassim – Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, En. Ridzwan b. Othman – Ketua Eksekutif Jenama, QSR Brands, YB Dato Ahmad Ishadi b. Adullah Al-Qard, En. Zulkifli b. Mamat – Pengetua KAB, Pn Shakila Mohd Idris – Penasihat Program PELITA