CITRA mendapat sambutan luar biasa apabila dewan dipenuhi penonton, menandakan sokongan padu terhadap pemeliharaan warisan dan identiti bangsa

Tanjong Malim, 25 Oktober 2025 –  Seni dan budaya adalah lambang jati diri masyarakat, menggambarkan cara hidup, nilai serta warisan yang dibentuk sepanjang zaman. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi berfungsi sebagai wadah penyatuan dan sebagai ingatan kepada generasi hari ini tentang pentingnya memelihara khazanah budaya yang diwariskan. Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengangkat potensi dan kreativiti mahasiswa dalam seni persembahan melalui penganjuran program CITRA : “Cahaya Tradisi dan Aspirasi Budaya”. Program yang berlangsung pada 25 Oktober 2025 ini dipertandingkan di Dewan Harun Aminurrashid untuk memberi ruang kepada penghuni kolej untuk mengekspresikan bakat mereka serta menghayati nilai kesenian dan kebudayaan secara lebih dekat.   

Anjuran Exco Kesenian dan Kebudayaan Majlis Mahasiswa Kolej Harun Aminurrashid Sidang 2025/2026, program ini bertujuan untuk menampilkan keharmonian dan keindahan kepelbagaian seni budaya yang terdapat dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia serta mencungkil bakat terpendam penghuni-penghuni kolej.

Lima pertandingan utama dianjurkan iaitu nyanyian balada, tarian tradisional, deklamasi puisi, dendangan syair dan aerodance, yang mengangkat tema kesenian dan kebudayaan. Pertandingan ini menjadi wadah untuk memelihara warisan seni bangsa serta memperkenalkan keunikan budaya tempatan.

Tarian pembukaan yang dipersembahkan simbol penghargaan terhadap keindahan seni dan budaya tempatan

Menampilkan tema filem Magika yang merupakan sebuah filem muzikal fantasi Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2010. Filem ini menggabungkan unsur dongeng Melayu klasik dengan kisah moden, menjadikannya satu karya yang sarat dengan imaginasi dan nilai moral. Dengan penyertaan sasaran seramai 20 penyertaan, CITRA diharap menjadi sebuah platform kepada mahasiswa untuk menyerlahkan potensi dan kreativiti dalam seni persembahan. Dengan kehadiran elemen gimik yang menghiburkan dan sentuhan kreatif yang penuh inovasi, setiap persembahan yang dipersembahan berjaya mencipta suasana yang mengujakan sambil membuka ruang kepada para peserta untuk mempamerkan potensi terbaik mereka dalam usaha merebut gelaran juara.

Johan pertandingan tarian tradisional yang mengangkat tema kesenian dan kebudayaan

CITRA membuka tirainya dengan persembahan penuh warna-warni oleh pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mempersembahkan tarian dan sketsa pendek diadaptasi daripada filem popular Magika. Keunikan gabungan seni tari dan lakonan itu berjaya memikat hati penonton serta menonjolkan nilai estetika budaya tempatan yang sarat dengan makna.

Sebagai kemuncak acara, persembahan Aerodance yang bertenaga tinggi menghidupkan suasana di Dewan Harun Aminurrashid, menutup tirai program CITRA dengan penuh semangat dan mengujakan.

Nur Alia Maisara Mohd Sobri, Pengarah Program CITRA, “Seni dan budaya menyatukan jiwa, menyemarakkan semangat, dan mencipta makna dalam kehidupan kita. Program ini menjadi simbol perpaduan melalui keindahan karya dan bakat yang dipersembahkan. Syabas kepada semua peserta atas sumbangan luar biasa. Semoga kecintaan terhadap warisan seni terus mekar dalam diri kita semua.”

Felo Penasihat Exco Kesenian dan Kebudayaan, Puan Nurul Najwa turut menzahirkan rasa syukur beliau atas kejayaan program ini. “Saya amat bersyukur kerana dapat menyaksikan sendiri kemeriahan dan semangat yang ditunjukkan oleh para peserta pada malam ini. Persembahan yang ditonjolkan malam ini membuktikan bahawa mahasiswa memiliki daya kreativiti dan potensi luar biasa untuk terus melangkah jauh. Sesungguhnya, program sebegini berperanan besar dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai budaya dan semangat kebersamaan.”

Hadir sama memeriahkan acara ini ialah Ketua Felo, Dr. Muhammad Ridhwan Sarifin, Felo Blok Kediaman 1, Hazman Ya’akob, Felo Blok Kediaman 3, Norrulkamari Daud, Felo Blok Kediaman 4, Muhamad Rusham Rustan Nursim, Felo Blok Kediaman 5, Mohd Izzat Abdul Rahman.

Antara barisan juri jemputan yang adalah Prof. Madya Dr. Abdul Halim Masnan, Nuryn Qistin Najwa Mohd Shahnuri dan Ireen Sharoo Anak Roland. Barisan memastikan penilaian yang adil dan berkualiti, pihak penganjur telah memilih juri yang berwibawa serta berpengalaman dalam dunia seni. Setiap juri membawa kepakaran dan pencapaian tersendiri yang mencerminkan keunggulan dalam bidang seni persembahan. Mereka menilai setiap karya berdasarkan kreativiti, penghayatan dan keindahan persembahan yang dipentaskan.

Setelah melalui penilaian yang rapi, juri telah memilih tiga persembahan terbaik bagi setiap kategori dan seterusnya menobatkan pemenang bagi CITRA. Bagi kategori Nyanyian Balada, gelaran juara menjadi milik Myristica. Kategori Sajak menyaksikan kemenangan Sayap Murba, manakala Sharifah dinobatkan sebagai juara kategori Syair. Seterusnya, kategori Tarian Tradisional menyaksikan kemenangan kumpulan Destar Limar, dan akhirnya kumpulan Seraphina Berry diumumkan sebagai pemenang kategori Aerodance. Tahniah diucapkan kepada semua pemenang atas bakat dan dedikasi yang menyerlah dalam setiap persembahan.

Program ini membuktikan bahawa seni dan budaya berperanan penting sebagai wadah untuk menyerlahkan potensi dan kreativiti mahasiswa dalam bidang persembahan. Melalui penglibatan dalam aktiviti sebegini, mahasiswa bukan sahaja dapat mengasah bakat dan keyakinan diri, malah turut memupuk semangat kerjasama serta menghargai nilai kesenian dan kebudayaan sebagai warisan bersama.