Oleh: Nurul Akma & Nurfatiesha
Tanjong Malim, Perak, 26 Oktober 2025 – Program Gempur Blok: “Bersih Itu Power” merupakan aktiviti gotong-royong anjuran Exco Blok Kediaman, Kolej Harun Aminurrashid (KHAR), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berlangsung dengan jayanya yang telah melibatkan penyertaan penghuni daripada semua blok kediaman. Program ini diadakan bagi memupuk semangat kerjasama, tanggungjawab sosial serta kesedaran terhadap kepentingan kebersihan dalam kalangan warga kolej.
Aktiviti program ini dimulakan dengan ketibaan barisan VVIP pada pukul 7.30 pagi. Sesi seterusnya adalah sesi senamrobik yang berlangsung dari pukul 8.30 pagi hingga 9.00 pagi yang melibatkan penyertaan seluruh warga kolej bagi tujuan mempromosikan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal. Sesi pemanasan badan ini turut berjaya menyuntik semangat kerjasama serta keceriaan dalam kalangan peserta sebelum mereka mengagihkan diri ke kawasan blok masing-masing untuk memulakan kerja-kerja gotong-royong yang dirancang.



Menurut wakil felo KHAR, Nurul Najwa Mohamad, penganjuran program seumpama ini merupakan satu langkah penting dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga prihatin terhadap kesejahteraan persekitaran mereka. Program seperti ini melatih mahasiswa supaya menghargai kebersihan dan tanggungjawab sosial sebagai sebahagian daripada nilai diri. Ia juga memperkukuh hubungan antara pelajar, felo dan penghuni kolej.
Selain aktiviti kebersihan, program ini turut menjadi medium interaksi antara pelajar baharu dan senior dalam suasana santai serta penuh semangat kekeluargaan. Program ini memberi ruang kepada semua warga KHAR untuk berkomunikasi, bertukar idea dan bekerjasama demi mewujudkan persekitaran kolej yang kondusif dan harmoni.
Program ini turut mendapat sokongan padu daripada pihak pengurusan kolej yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program ini. Kejayaan penganjuran program ini membuktikan bahawa semangat “Bersatu Hati, Kolej Bersih dan Harmoni” dapat direalisasikan melalui komitmen serta kesepaduan seluruh warga KHAR.
Pelaksanaan program seumpama ini diharap dapat diteruskan dari masa ke semasa bagi memastikan nilai kebersihan dan semangat kerja berpasukan terus subur dalam kalangan mahasiswa. Melalui usaha berterusan ini, KHAR terus komited dalam melahirkan pelajar yang berdisiplin, bertanggungjawab dan memiliki jati diri unggul sebagai Anak Kandung Suluh Budiman.
