Oleh: Bazli Razak
TANJONG MALIM, 29 Oktober 2025 – Penganjuran The 2nd Moral, Civics and Character Education International Conference 2025 (MCCEIC 2.0) oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disifatkan seiring dengan matlamat reformasi kurikulum kebangsaan ke arah melahirkan pelajar yang berakhlak mulia, bermaruah dan berperibadi kukuh.
Pengarah Akademik dan Antarabangsa UPSI, Profesor Madya Dr. Ridzwan Che Rus, berkata tumpuan Reformasi Pendidikan Nasional 2027 yang berasaskan konsep insan sejahtera menekankan pembangunan menyeluruh individu melalui budaya ilmu serta kesejahteraan ekonomi dan sosial, selaras dengan salah satu nilai teras Malaysia Madani.
“Tema persidangan tahun ini, ‘Flourishing Human for Education: Integrating Moral, Civics and Character Education’ menggambarkan hasrat kita untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pemimpin, pendidik dan pihak berkepentingan mengenai kepentingan kesejahteraan insan sebagai tonggak utama kemajuan negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan itu di Dewan Konvensyen e-Learning, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI hari ini.
Beliau berkata penganjuran MCCEIC 2.0 sebagai platform ilmiah berwibawa diharap dapat memperkukuh dan memperkasa pendidikan masa depan dalam bidang Moral, Sivik dan Pembentukan Sahsiah, seiring dengan peranan UPSI sebagai institusi pendidikan tinggi awam yang berakar kepada warisan kecemerlangan pendidikan negara sejak merdeka.
Menurutnya, buat julung kali, persidangan edisi kali ini turut melibatkan penyertaan murid sekolah rendah dan menengah dari negeri Perak dalam pertandingan projek inovasi yang mengetengahkan idea serta kreativiti mereka.
“Usaha sebegini amat penting bagi memberikan pengalaman pembelajaran bermakna yang dapat merangsang daya inovasi dan pemikiran kritikal dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau.


Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengajian Moral, Sivik dan Pembinaan Sahsiah, Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri Perak serta semua pihak yang menjayakan penganjuran persidangan tersebut.
MCCEIC 2.0 menjadi medan pertemuan ahli akademik, penyelidik, pembuat dasar dan pendidik dari dalam dan luar negara bagi berkongsi pandangan serta hasil penyelidikan berkaitan pendekatan integrasi dalam pendidikan moral, sivik dan sahsiah ke arah pembinaan masyarakat madani yang sejahtera.

