Md Amin (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan UPSI serta kakitangannya sempena Majlis Pelantikan Profesor di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.Md Amin (tengah) bergambar bersama barisan pengurusan UPSI serta kakitangannya sempena Majlis Pelantikan Profesor di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Oleh: Bazli Razak

Tanjung Malim, 28 Oktober 2025– Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menyerlah sebagai institusi pendidikan tinggi yang melahirkan tokoh ilmuwan unggul apabila meraikan pelantikan tiga profesor baharu yang masing-masing mencipta kecemerlangan dalam bidang kepakaran mereka.

Majlis Pelantikan Profesor yang berlangsung di Dewan Konvensyen UPSI itu meraikan pelantikan Profesor Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dari Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sains Kemanusian (FSK); Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim dari Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) serta Profesor Dr. Mohd Nizam Nasrifan dari Jabatan Muzik dan Pendidikan Muzik, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP).

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff, dalam ucapannya berkata pelantikan tersebut bukan sekadar pengiktirafan kepada pencapaian individu, tetapi lambang keunggulan ilmu dan dedikasi warga akademik universiti dalam memperkukuh misi pendidikan tinggi negara.

“Lantikan sebagai profesor bukan sekadar satu gelaran atau pencapaian peribadi. Ia merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan besar seseorang ahli akademik dalam bidang ilmu, penyelidikan dan pembangunan universiti serta masyarakat keseluruhannya.

Menurut beliau, pelantikan Profesor Dr. Muhamad Rozaimi, yang kini menjawat jawatan Rektor Universiti Islam Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), mencerminkan reputasi UPSI sebagai institusi yang berjaya melahirkan ilmuwan berpengaruh di peringkat nasional.

“Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bukan sahaja aktif dalam bidang pengajian hadis dan pemikiran Islam kontemporari, tetapi turut memainkan peranan penting sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sejak 2015.

“Kejayaan beliau memimpin KUIPs hingga dinaik taraf menjadi UniSIRAJ membuktikan kepimpinan dan sumbangan cemerlang beliau dalam dunia pendidikan Islam,” ujar beliau.

Md Amin (tiga dari kanan) menyerahkan sijil lantikan profesor kepada Mohd Nizam (dua dari kanan) sempena Majlis Pelantikan Profesor di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Md Amin (tiga dari kanan) menyerahkan sijil lantikan profesor kepada Abdul Talib (dua dari kanan) sempena Majlis Pelantikan Profesor di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Md Amin (tiga dari kanan) menyerahkan sijil lantikan profesor kepada Muhamad Rozaimi sempena Majlis Pelantikan Profesor di Dewan Konvensyen, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.

Sementara itu, pelantikan Profesor Dr. Abdul Talib Mohamed Hashim, Dekan FPM, turut diiktiraf sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar beliau dalam bidang Sosiologi Pendidikan, terutama berkaitan isu keadilan sosial, mobiliti pendidikan dan pembentukan identiti masyarakat.

“Sumbangan beliau amat bermakna bukan sahaja kepada dunia akademik tetapi juga kepada pembuat dasar dan komuniti pendidikan di seluruh negara.

Pelantikan ketiga, Profesor Dr. Mohd Nizam Nasrifan, yang memulakan kerjaya sebagai guru muzik, turut disifatkan sebagai bukti kejayaan UPSI dalam melahirkan ahli akademik berjiwa pendidik.

“Profesor Dr. Mohd Nizam bukan sahaja melahirkan ramai graduan sarjana dan doktor falsafah, tetapi juga mengharumkan nama universiti melalui kepakarannya dalam bidang orkestra dan pancaragam.

“Komitmen beliau sebagai juri antarabangsa dan pengarah muzik orkestra UPSI antara tahun 2003 hingga 2008 membuktikan dedikasi beliau dalam mengangkat martabat seni muzik tanah air.

“Semoga pelantikan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak pencapaian membanggakan dan membantu merealisasikan visi UPSI untuk kekal sebagai universiti nombor satu pendidikan,” ujar beliau.