Penyerahan Bakul Ihsan MADANI kepada mangsa banjir oleh ResQ Team UPSI di Beruas, PerakPenyerahan Bakul Ihsan MADANI kepada mangsa banjir oleh ResQ Team UPSI di Beruas, Perak

Beruas, 29 Oktober 2025- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus menzahirkan komitmen terhadap tanggungjawab sosialnya dengan menyalurkan sebanyak 110 pek makanan kepada mangsa banjir di sekitar Beruas, Perak melalui ResQ Team UPSI.

Menurut Pengarah UCTC, Prof. Dr. Mohd Azlan Nafiah, pelaksanaan misi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan UPSI untuk menyemai semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap komuniti setempat, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai institusi yang berteraskan ilmu dan kemanusiaan.

Gerak kerja ResQ Team dalam sesi penyerahan Bakul Ihsan Madani
Gerak kerja ResQ Team dalam sesi penyerahan Bakul Ihsan Madani

“Dalam misi ini, ResQ Team UPSI telah menyalurkan barang sumbangan berbentuk makanan kering seperti beras, gula, bihun, kicap, sos cili, sardin, minyak masak dan biskut kepada mangsa banjir”.

“Kami bukan sekadar datang membawa bantuan, tetapi hadir dengan semangat untuk bersama-sama masyarakat menghadapi ujian ini. Nilai empati dan kepedulian sosial amat penting dalam membentuk insan seimbang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” ujar beliau.

“Misi ini juga merupakan fasa kedua, di mana ResQ Team UPSI bersama Majlis Sukarelawan Universiti Malaysia (MASKUM) telah menghulurkan bantuan sebanyak 101 pek kepada mangsa banjir di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu Sekolah Agama Rakyat Pantai Remis dan Sekolah Kebangsaan Beruas pada 25 Oktober lalu”.

Gerak kerja ResQ Team dalam sesi penyerahan Bakul Ihsan Madani
Gerak kerja ResQ Team dalam sesi penyerahan Bakul Ihsan Madani

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPSI, Prof. Dr. Norkhalid Salimin berkata misi bantuan ini bukan sekadar menghulurkan sumbangan, tetapi manifestasi nilai ihsan dan kemanusiaan yang menjadi teras pendidikan di UPSI.

“Kami mahu setiap warga universiti merasai tanggungjawab untuk bersama masyarakat, terutama ketika mereka diuji dengan bencana. Inilah makna sebenar universiti penyayang dan prihatin”.