Penyerahan replika kunci motosikal Yamaha MT-15 telah disampaikan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman (tengah) kepada Ketua Bahagian Keselamatan, ASP/PB Fairuz Mislan (empat dari kanan) sebagai tanda rasmi penyerahan kenderaan tersebut kepada Bahagian Keselamatan
Tanjong Malim, 6 November 2025 – Majlis Penyerahan Motosikal Polis Bantuan telah diadakan di Bangunan Canselori Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), bagi memperkasakan kesiapsiagaan serta keupayaan operasi keselamatan di seluruh kawasan kampus.
Pada majlis tersebut, sebanyak dua buah motosikal jenis Yamaha MT-15 telah diserahkan bagi meningkatkan mobiliti rondaan, mempercepatkan respons terhadap insiden keselamatan, serta memantapkan kawal selia trafik di kawasan universiti.
Sesi penyerahan telah disempurnakan oleh Pendaftar UPSI, Helmi Zaifura Abdul Rahman dan diterima oleh ASP/PB Mohd Fairuz Mislan, mewakili Polis Bantuan UPSI. Majlis ini turut dihadiri oleh Saiduri Dolah, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi Universiti, serta wakil-wakil pengurusan Pentadbiran UPSI.
Majlis turut diserikan dengan ucapan oleh Helmi Zaifura yang menegaskan bahawa penyerahan motosikal ini mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta keberkesanan operasi keselamatan di kampus. Beliau merakamkan penghargaan kepada Polis Bantuan atas profesionalisme dan dedikasi yang sentiasa ditunjukkan dalam memastikan persekitaran UPSI kekal selamat, kondusif dan teratur.
“Sokongan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam menyediakan suasana pembelajaran yang harmoni demi kesejahteraan seluruh warga UPSI”, tambah beliau.


Sebagai menyokong komitmen tersebut, beliau turut berkesempatan mencuba sendiri motosikal Yamaha MT-15 bagi menilai secara langsung keupayaan dan keselesaan kenderaan yang bakal digunakan dalam operasi keselamatan kampus.
ASP/PB Mohd Fairuz turut merakamkan penghargaan kepada pihak universiti atas sokongan berterusan dalam meningkatkan kelengkapan dan keupayaan operasi keselamatan kampus. Beliau menyatakan bahawa penambahan aset ini akan memperkukuh lagi kesiapsiagaan anggota Polis Bantuan dalam melaksanakan tugas harian menjaga keselamatan warga UPSI.
Inisiatif ini mengukuhkan lagi usaha universiti dalam meningkatkan standard keselamatan kampus, seiring aspirasi UPSI untuk menerajui kebitaraan pendidikan dengan memastikan kebajikan dan kesejahteraan warganya sentiasa menjadi keutamaan.

Sebagai melengkapi majlis, para tetamu turut berkesempatan merakam momen bersama dalam sesi bergambar sebelum majlis bersurai.
