Oleh: Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli Wan Mokhtar, En. Mohd Faisal Mohd Yassin.

TANJONG MALIM, 5 November 2025 – Fenomena Supermoon 2025, apabila Bulan berada paling hampir dengan Bumi, telah memberi peluang kepada pelajar Fakulti Sains dan Matematik (FSM) untuk menjalankan aktiviti pencerapan yang dianjurkan oleh Stargazers UPSI bertempat di Padang Kawad UPSI, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada jam 9.00 malam hingga 12.00 tengah malam.

Fenomena ini menjadikan Bulan kelihatan lebih besar dan lebih cerah berbanding bulan penuh biasa, sekali gus menarik minat pelajar untuk meneroka keindahan langit malam melalui pengalaman pencerapan sebenar.

Seramai 80 orang pelajar terdiri daripada pelajar AT12 Semester 1 dan AT16, serta pelajar yang mengambil kursus elektif Astronomi telah menyertai aktiviti tersebut.

Mereka berpeluang menjalankan amali pencerapan malam menggunakan empat buah teleskop yang disediakan oleh pasukan Stargazers UPSI.

Selain pemerhatian visual, pelajar turut diberi pendedahan kepada teknik asas astrofotografi bagi merakam imej Bulan Supermoon melalui teleskop menggunakan telefon pintar sebagai kenang-kenangan.

Menariknya, aktiviti ini turut disiarkan secara langsung (Live) melalui akaun rasmi TikTok Stargazers UPSI, bagi membolehkan orang ramai mengikuti fenomena Supermoon secara maya.

Inisiatif ini berjaya menarik perhatian penonton dalam dan luar kampus untuk sama-sama menyaksikan keindahan fenomena langit tersebut secara interaktif dan masa nyata.

Program ini dikendalikan oleh tenaga pengajar Ts. Dr. Afiq Radzwan, En. Wan Zul Adli bin Wan Mokhtar, dan En. Mohd Faisal bin Mohd Yassin, yang turut memberi tunjuk ajar tentang teknik pencerapan, keselamatan penggunaan teleskop serta kaedah rakaman digital langit malam.

Aktiviti ini bertujuan untuk membudayakan aktiviti astronomi amatur dalam kalangan pelajar UPSI, selaras dengan Aspirasi Bitara 2.0 UPSI yang menekankan penerapan budaya ilmu, penerokaan sains dan teknologi, serta penglibatan pelajar dalam aktiviti berimpak tinggi.

Melalui pencerapan ini, pelajar bukan sahaja dapat menguasai kemahiran teknikal dalam bidang astronomi, malah menghayati keindahan langit malam sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran holistik.

Aktiviti ini dijangka diteruskan bagi fenomena langit seterusnya sebagai usaha berterusan memperkukuh minat terhadap sains dan astronomi di UPSI.