Oleh: Dr Harnani Mat Zin

Putrajaya, 17 NOV 2025 – NCDRC dengan kerjasama Bahagian Pemakanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan sesi pengujian akhir (Final Acceptance Test, FAT) bagi menilai keberkesanan dan kesediaan Modul Pemakanan dalam Sistem NCDC untuk digunakan secara rasmi.

Sesi yang berlangsung di Bilik Mensyuarat Utama, Bahagian Pemakanan KKM itu memberi tumpuan kepada penilaian teknikal dan fungsi sebenar modul termasuk proses pelaporan, pengurusan data, kebolehgunaan antaramuka, serta integrasi dengan komponen sistem lain. Ujian ini merupakan fasa penting sebelum modul dibenarkan untuk digunakan pada skala penuh di peringkat nasional.

Wakil teknikal NCDRC, Ts Eimiza Faisha Azmi, membentangkan kefungsian modul serta menyelaras demonstrasi penggunaan sistem secara langsung. Bahagian Pemakanan KKM pula menjalankan semakan parameter kandungan, logik pemakanan, ketepatan indikator serta keperluan operasi yang disesuaikan dengan garis panduan pemakanan kanak-kanak negara.

Kerjasama ini dijangka meningkatkan keupayaan Sistem NCDC sebagai platform digital bagi pemantauan status pemakanan serta perkembangan dan kesejahteraan kanak-kanak secara menyeluruh. Dengan modul pemakanan yang lebih teratur dan mesra pengguna, KKM mampu menjalankan analisis status pemakanan kanak-kanak secara lebih sistematik, cepat dan tepat.

Sesi FAT ini turut membuka ruang perbincangan bagi penambahbaikan fasa seterusnya termasuk penyelarasan data lapangan, pemantapan aliran kerja serta latihan khusus kepada pengguna sistem.