Tanjong Malim, 20 November 2025 – Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan AI in Education Seminar by Akito Global, sebuah program yang memberi pendedahan menyeluruh mengenai penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam sektor pendidikan. Seminar ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Suzani binti Mohamad Samuri, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT). Ianya telah berlangsung di Auditorium Aras 4, Perpustakaan Tuanku Bainun. Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi ini melibatkan pensyarah fakulti dan 65 pelajar, termasuk 15 orang pelajar sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) yang menyelaras perjalanan program sepenuhnya.

Penceramah & Tetamu Kehormat Antarabangsa

Seminar ini turut menampilkan penceramah dan tokoh industri AI dari pelbagai negara, termasuk wakil dari China, Malaysia dan Jepun. Antara yang hadir ialah Mr. Allen Tsang, Mr. Albert Cheng, serta delegasi Akito Global Group & Companies iaitu Kapitan Dr. Simon Hong, Mr. Ginsho Tan, Mr. Kusunoki Takao, Mr. Kusunoki dan Dr. Mori Kainei. Kehadiran mereka mengukuhkan lagi peluang kolaborasi strategik antara UPSI dan pemain industri global.

Manfaat kepada Pelajar

Dr. Muhamad Hariz Bin Muhamad Adnan, Pensyarah kursus selaku penasihat program percaya bahawa kesemua pelajar yang mengambil kursus Kepintaran Buatan turut menjadikan seminar ini sebagai sebahagian pengayaan pembelajaran mereka di mana pelajar mengetahui aplikasi sebenar AI dalam pendidikan seperti sistem pengesyoran, analitik bilik darjah, automasi tugasan guru dan teknologi pembelajaran adaptif. Pembabitan 15 pelajar sebagai AJK program meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi dan Kerjasama.

Kesimpulan

AI in Education Seminar by Akito Global bukan sekadar program akademik, tetapi satu platform strategik yang memperkasa pelajar UPSI dengan kemahiran masa depan. Dengan penglibatan aktif industri luar negara, seminar ini menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan digital serta selari dengan aspirasi UPSI dalam melahirkan graduan berketerampilan tinggi dalam bidang teknologi dan pendidikan.